Usul Tatkala...

Sesekali hatinya menjentik resah. Galau di hatinya bagai disiat-siat. Cuak memikirkan bagaimana mahu dibetulkan keadaan. Sungguh. Dia masih sayangkan keluarganya.

Selepas satu demi satu laman sosial facebook milik anak-anak muda remaja dilayari. Pelbagai aksi, gambar dan tulisan yang mencerminkan pemikiran hati. Anak-anak buahnya yang sedang meningkat remaja juga tidak terkecuali.

Setelah diteliti satu persatu laman peribadi yang memuatkan gambar-gambar profil anak-anak buahnya yang pelbagai. Jiwanya jadi tidak keruan. Profil Facebook anak-anak buah dengan pelbagai gambar artis barat yang dia sendiri tidak mengenalinya. Gambar-gambar yang menampakkan latar hidup anak buahnya yang masih di sekolah menengah dengan latar sosial. Bebas bergambar remaja lelaki dan perempuan. Dia jadi sempit akal.

Dia jadi keliru. Status ustaz yang disandangnya bagaikan memberikan isyarat. Dia perlu perbetulkan anak-anak muda. Dia perlu betulkan keluarganya sendiri Namun disebalik tanggungjawab itu dia mulai fikirkan sesuatu. Bagaimana mahu dia sedarkan remaja dan ahli keluarga sendiri yang perlukan pengisian roh . Dia tidak punya kekuatan untuk itu.

Perkara pertama fikirnya, dakwah ajakan perlu sampai kepada kakak-kakak dan abangnya. Dia mahu nukilkan sesuatu. Dia mahu gunakan teknik mengimbau semula kehidupan lama sebagai modak kesedaran. Dia mahu tuliskan cereka asal usul keluarganya.

Dia akan pastikan semua adik beradik dan anak-anak saudaranya mengenal diri melalui sirah usul taktkala. Dengan harapan juga tulisan itu akan lunak dibaca sesiapa sahaja. Surat ini barangkali untuk ahli keluarganya tetapi hakikatnya dia sedang menulis untuk membetulkan masyarakat sekeliling.

Jemarinya mulai menitip sesuatu. Seiring kelajuan akal dan ciptaan babak demi babak, air matanya juga tumpah titis demi titis. Ya. Dia menangis. Tangisan jernih yang tidak pernah dipaksa. Ia keluar seiring kenangan yang menjelaskan siapa dia dan bagaimana zaman kanak-kananknya.

Kebahagiaan yang berlandaskan catatan hidup lalu mengajar dia akan erti sebuah tanggungjawab dan perjuangan. Dia mahu catatkan segalanya.

Kakanda dan adinda sekalian,

Rumah dua tingkat yang masih utuh itu usianya telah lebih 30 tahun. Rumah kotak empat segi tepat yang dirinya atas tanah lot kampung baru yang dibuka selepas banjir merah 70-an menyimpan seribu satu cerita. Ia sarat dengan tangisan dan ketawa. Rumah ini penuh jasa. Tempat kita mengenal dunia.

Kita sembilan beradik semuanya. Duduk menghuni rumah yang pada kita adalah istana sekalipun jenuh apabila hujan menderu periuk dan bekas-bekas air menakung titis, sedang bila panas terik kita pasti akan lebih selesa mendingin badan dengan penghawa angin tidak berbayar di anjung rumah. Kita bahagia menghitung ketawa dan gurau senda. Canda kita tidak pernah kenal masa. Kita bahagia bertemankan tilam nipis, tidur berhimpit-himpit.

Perkataan mewah tidak pernah hinggap di benak fikir kita. Kita tidak berani sekalipun untuk bermimpi memiliki permainan. Walau hanya kereta mainan kecil yang selalunya sengaja ditunjuk-tunjuk kawan-kawan, anak-anak jiran. Ayah selalu berkata, duit yang ada mahu digunakan untuk persekolahan kita semua.

Yang selalu kita dan kawan-kawan, anak-anak kampung main adalah bola kaki tiga. Kita jadikan tiga selipar sebagai kaki tiga. Kita gumpal kertas dan plastik lalu kita ikatkan dengan getah dan jadikan bola. Kita main sembunyi-sembunyi. Main polis-pencuri dan kadang-kadang kita lawan lompat getah. Kita pintal getah urat dijadikan tali dan kita lawan siapa paling tinggi melompatnya. Ia bagai permainan bermusim.

Bila tiba musim kawan-kawan sekampung main lumba basikal, kita adik beradik selalunya mati kutu. Kita hanya ada sebuah basikal tua. Basikal ayah yang ada besi penyekat ditengah-tengah. Basikal untuk orang dewasa. Kita yang masih kanak-kanak boleh menaikinya tetapi dengan mengangkangkan kaki di bawah penghalang basikal. Tubuh kita akan jadi senget kerana tersekat di penghalang. Pada masa itu kita gembira sekalipun kawan-kawan yang lain ada basikal Rally buatan Jepun. Sebabnya kita juga ada basikal tua buatan China yang kita kayuh milik bersama. Hanya sesekali ayah benarkan kita mengayuh basikal tua itu. Itulah kenderaan termahal yang ayah kita mampu beli masa itu. Basikal itu bukan untuk main-maian. Basikal itu ayah kita guna untuk ke pasar atau sesekali bawa kita ke klinik.

Hakikatnya basikal itu punyai cerita tersendiri buat kita adik-beradik. Basikal itu jadi kenderaan kita sekeluarga. Setiap dari kita pastinya akan menaikinya. Ayah letakkan kita ditempat khas berjaring besi atas tayar belakang basikal. Basikal tua itu begitu lama menabur bakti pada ayah dan keluarga kita. Ayah kita hanya boleh miliki motor Honda 50, DF 4375 pada tahun 1991.

Kita dibesar tanpa kenal-kecap mewah. Tidak pernah terlintas di benak kita untuk sekalipun miliki pakaian cantik yang mahal. Baju kita hanyalah kain murah yang dibeli dipasar minggu. Pakaian kita hanya dua ke tiga helai seorang. Kadang kala kita bergiliran. Yang selalunya - adik-adik tidak merasa baju baru. Hanya memakai baju yang tidak muat milik abang dan kakak-kakak.

Makanan kita bercatu. Dua ekor ikan yang isinya tertanggal dari tulang kita kongsi sembilan orang. Sesekali jika musim hujan, kita hanya boleh merasa telur dadar yang dimasinkan dan dipotong hiris kecil-kecil untuk dikongsikan sembilan orang. Jika kita berlaukkan ayam yang semestinya sekali-sekala, tidak lebih dari sebuku kecil seorang. Selalunya jika berlaukkan ayam, kita rela makan nasi kosong bermandi kuah dan ayam yang ada pastinya disimpan untuk kita ratah. Hanya itu caranya untuk kita mensyukuri nikmat merasa nasi berlauk ayam.

Setiap kali hujung minggu kita perlu mencuci sendiri pakaian dan kasut sekolah. Itu adalah peraturan yang kita perlu dipatuhi. Kita pakai kasut sehingga benar-benar koyak dan tidak boleh diguna lagi. Pakaian sekolah yang koyak selalunya akan dijahit dan ditampal. Pakaian sekolah hanya sehelai dan kita hanya akan ulang memakainya selama seminggu tanpa basuh. Kotor atau tidak atas jagaan masing-masing. Masa itu mana ada mesin basuh yang boleh mengeringkan pakaian dengan cepat. Sepanjang sekolah rendah mana ada pakaian kita yang bergosok. Kita pakai sahaja baju yang berkedut seribu.

Dalam kesempitan hidup kita barangkali bertuah. Sekalipun miskin harta tapi pelajaran tetap diutama. Jika kita dirotan guru, pastinya mulut kita rapat terkunci. Jika ibu atau ayah mengetahuinya pasti kita akan ditambahi rotan. Hujahnya kita yang buat salah. Kita yang jahat dan malas belajar sehingga didenda guru sehingga rupa.

Jangan sekali-kali ada diantara kita yang lupa. Ibu kita sering berpesan supaya jaga ikatan persaudaraan ini dengan penuh jujur. Jangan ada sengketa diantara kita. Darah yang mengalir dari titisan keringat orang tua yang miskin ini perlu dibayar dengan ikatan erat adik beradik. Penuh kasih sayang dan tidak bertelagah antara kita. Ayah kita juga sering mengingatkan. Jangan warisi kemiskinan ini. Jangan warisi kejahilan tanpa ilmu. Belajar dengan penuh tekun kerana hanya dengan ilmu sahajalah kita akan dihormati dan dipandang mulia. Sekalipun ilmu bukan untuk mencari kaya tetapi sekurang-kurangnya kita akan dimuliakan manusia dan diangkat darjat di sisi Tuhan.

Maafkan adinda mu ini mengungkit,

Kini segalanya barangkali berubah. Kita bukan anak-anak comot yang hanya miliki sehelai baju sekolah yang kita pakai tanpa cuci selama seminggu. Kita bukan lagi kanak-kanak yang menaiki basikal tua dengan menyengetkan tubuh. Kita bukan lagi anak-anak yang hanya berkongsi dua biji telur dadar yang masin dikongsi sembilan beradik.

Kita barangkali sudah lupa bagaimana rasanya ditembak senapang buatan sendiri dengan buah cenerai. Tidak merasai lagi permainan bola kaki tiga, lompat getah dan permainan polis-pencuri. Segalanya berubah. Kita sudah dewasa. Kemiskinan telah kian lari dari kita. Kita sudah miliki gaji bulanan dengan jumlah empat angka. Sebahagian dari kita sudah punyai keluarga. ibu dan ayah kita kini bergelar nenek dan datuk.

Air mata dan titis keringat yang tumpah dalam membesarkan kita bukan sedikit untuk kita tadah. Tiada harga yang mampu kita bayar untuk itu. Kasih sayang yang tidak mampu ditukar ganti. Perhatian dengan pelajaran menjadikan kita mampu menjadi insan berilmu. Pengorbanan bersusah ibu ayah memastikan kita teruskan belajar akhirnya berbaloi.

Kini segalanya berubah. Taraf hidup, status dan rentak fikir kita juga berubah. Kita makin meninggalkan kehidupan susah. Kita mulai mengisi lompang kesusahan dengan kesenangan. Anak-anak kita sudah tidak kenal lagi erti susah. Anak-anak kita tidak lagi perlu berkongsi dua biji telur sembilan beradik. Anak-anak kita boleh memiliki nasi berlauk ayam tanpa catu. Malah kita hiding mereka dengan pelbagai makanan barat. KFC, Pizza, McDonald. Anak-anak kita tidak mahu lagi pakai baju lusuh. Mereka miliki baju sekolah tiga ke empat pasang yang dicuci setiap hari. Jika ada pakaian atau kasut yang koyak mereka minta ianya ditukarkan.

Anak-anak kita hari ini sudah tidak kenal lagi erti susah. Mereka hidup sendiri-sendiri. Barangkali kerana sibuk dengan kerja dan mencari kekayaan kita makin abaikan mereka. Cuba bilang berapa jam masa yang kita ada untuk memberikan mereka kasih sayang. Kita biarkan mereka dengan sikap mereka. Kita mewahkan mereka dengan apa sahaja. Kononnya kita tidak mahu mereka merasai kemiskinan yang kita pernah rasai. Kita mahu mereka hidup mewah dan senang. Kita limpahkan mereka dengan harta kekayaan.

Apa agaknya kita lupa. Bukankan dengan kemiskinan kita juga boleh berjaya. Jangan salahkan anak-anak kita jika mereka dengan sombong menghina orang miskin dijalanan. Jangan salahkan anak-anak kita jika mereka tidak mahu belajar dan sukakan keseronokan. Itu hanya kerana kita lupa asal kita. Kita enggan mengaku usul kita.

Hakikat yang terpaksa kita akur bahawa ibu dan ayah kita telah berjaya menjalankan amanah menjadikan kita insan berguna. Dengan kepayahan hidup yang membelit leher mereka dalam membesarkan kita, mereka berjaya. Formula kejayaan yang merencahkan kesusahan sebagai bahan utama kesedaran. Ibu bapa kita bukan graduan universiti atau sekalipun bukan lepasan diploma, STPM atau SPM. Mereka hanya lepasan darjah lima sekolah melayu yang hanya sempat tahu membaca dan mengeja tapi meraka berjaya.

Inilah usul kita. Jangan kita lupa atau sengaja buat-buat lupa. Dek kerana kita lupa usul kita menjadikan anak-anak kita rosak binasa. Sampai bila-bila pun kita akan digelar orang gagal sekalipun mewah berkereta dan rumah besar sedang anak-anak kita kurang ajar, malas belajar dan tiada kesedaran.

Maafkan adindamu ini. Tiada daya mahu dilakukan. Hanya doa dari kejauhan yang mampu ditadahkan agar keluarga yang kita bina selama ini akan terus diberkati Allah. Semestinya setiap dari kita punyai takdir hidup masing-masing. Namun diselitan siratan yang tidak kita ketahui itu lah, kita disunatkan untuk terus mengangkat doa agar Allah selamatkan kita semua dari kebinasaan Neraka. Takdir yang tersurat barangkali tidak mampu kita ubah dengan gigih usaha dan tadbir bijaksana semata. Namun kita masih diberi kuasa untuk terus menadah doa agar Allah luruskan segalanya.

Sekian.

Ikhlas dari adinda mu.

Dia sudahkan ayat terakhir warkah mengenang usul tatkala. Sekurang-kurangnya dia telah mulakan sesuatu untuk kebaikan anak-anak buahnya serta anak bangsa.

Harapnya perkongsian itu akan lebih lunak bermakna. Dia nekad memaparkannya untuk dibaca umum. Dia nekad.

 

MUHAMMAD NAJID ABDULLAH

Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia

08 Safar 1435H/11 Disember 2013

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa