Muharam Yang Berlalu

 

Barangkali muhasabah sempena tahun baru ini sesuai dengan peningkatan umur. Yang pasti semua menganjak ke usia tua. Selayaknya perlu dan amat-amat signifikan untuk suatu yang bernama peralihan. Hakikatnya, inilah proses kematangan, peningkatan usia, uga mungkin sebagai sempadan diri untuk merencana masa depan yang lebih jauh dan baik.

 

Hitung, congak dan berkira-kira. Apakah diri sudah bersedia untuk menempuh sebuah kematian. Sesekali terdetik dalam hati kecil ‘teruknya dunia ini. Semuanya teruk dan menyeksakan. Mana mungkin akan ketemu ketenangan melainkan ketentuan sebuah kematian’.

 

Itu bicara ketika sesal menyebak di dada. Bila ditenung-tenung, diselak lembar-lembar kalam sam’iyyat Al-Quran dan hadis berkenaan perkara ghaib, terutama seksa kubur dan kebangkitan selepas kematian, juga hitungan amalan akan di skrin tayangkan di Mahsyar Allah hati mula kecut “kalau aku mati, amalan apa yang bagus sangat yang telah aku lakukan hingga aku akan pasti terlepas daripada itu semua?”

 

Firman Allah SWT yang bermaksud :

 

“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata”

(Surah Ya Sin : ayat 12)

 

Akal mula mencongak perkara baik yang dilakukan. Habis hitungan baik yang tidak lepas pun 10 jari, hati mula bising menuding salah sendiri. Berkira-kira akan perihal dosa, kejahatan dan semua-semua maksiat yang dilakukan. Itu baru yang zahir, yang berkait dengan manusia, tidak termasuk lagi dosa yang terpahat di lubuk hati yang terdiri daripada barisan syirik tersembunyi yang namanya riya’, ujub, jah, suma’ah dan ratusan sifat mazmumah yang bersarang kemas di hati.

 

Akal bermuhasabah lagi. Bagaimana pula dengan nafsu muda yang hangat bergelora dalam diri. Pandang itu-ini tanpa mengira halal haram, cuba segala-gala kononnya muda hanya sekali. Masa asyik-mahsyuk dalam mainan nafsu, iman entah ke mana, pertimbangan akal bagaikan tidak lagi berada pada tempatnya dan senang berlenggang kangkung menggunakan pelbagai kaedah fiqh menghalalkan yang haram kononnya atas nama dharurat dan Islam itu mudah.

 

Bahana Mulut bacul tiada insurans, angkuh dan sombong

 

Itu tidak terhitung lagi dosa silam yang membarah, membekung nanah hanyir kewalahan. Mana hendak dicari orang yang pernah diumpat keji, disumpah seranah, difitnah nista dan di apa-apa peribadinya.

 

Dosa mulut gamaknya tidak terhitung. Apa tidaknya, senang sahaja lidah tidak bertulang ini menuturkan kata. Barangkali dek kerana lembutnya lidah ditambah pula jenis mulut yang langsung tidak ber’insuran’ , maka di sana seharusnya ada waspada. Mungkin ada hati yang terasa, jiwa yang terluka juga tidak mustahil ada maruah yang tercalar dek kerana penangan kepoh mulut kita berbicara.

 

Juga tidak mustahil jenis baran, hingga tidak semena-mena tangan, kaki naik ke muka sesiapa. Bertumbuk, bergusti, bertetak parang atau mudahnya ada yang telah kita sentuh kulitnya hingga menyebabkan luka.

 

Dosa sebegitu barangkali walau tidak banyak tapi tetap ada. Tidak sebanyak dosa mulut mungkin. Tapi bila agaknya mahu dilutut sembah mohon maaf kepada si mangsa. Agaknya mudah sahajakah mahu diturunkan ego, ditambah dengan mahalnya harga ucapan maaf di atas kesilapan hingga dengan mudah semuanya mahu diselesaikan bagaikan tiada apa-apa.

 

Yang disini mungkin malu, segan, dan entah apa lagi yang menyucuk tangkai hati untuk sekadar menghulur salam. Yang di sana pula barangkali berkira-kira ‘selagi luka masih berparut, biar mati sekali pun namun ucapan maaf tidak mungkin didahulukan. Semuanya akan di claim di akhirat Allah’.

 

Fahami Erti Kehidupan Dan Kepastian Sebuah Kematian

 

Dada sesak seketika mengumpul dan menampung dosa silam, kelmarin mahupun hari ini. Terasa betapa usia telah dihabiskan sia-sia tanpa apa-apa perencanaan menuju gerbang kedua, kehidupan selepas kematian. Dibangkitkan dengan seksa kubur dan seterusnya menunggu rencana mahsyar samada derita mahupun bahagia setelah amalan dihitung, dikira-kira dan di kurang tambah.

 

Bahagia andai memiliki amalan yang membayangkan Syurga tapi alangkah malangnya andai diri masih leka untuk mengelak duka dan derita Neraka dengan bergelumang dalam sampah kemaksiatan dan nafsu songsang semata.

 

Hati mula berdetik dan berbicara. Cukuplah hidup dalam kesamaran, kesesatan, tiada arah tujuan dan langsung tidak mengerti apakah ertinya kehidupan. Kehidupan ertinya mempersiapkan diri untuk bertemu Tuhan, menyediakan amalan untuk membayangkan rahmat Allah dengan Syurga yang kekal dan hidup merendah selaku hamba Tuhan. Merendah diri sesama muslim dan merantai hati den gan zikir mengingati Allah. Mudahnya, taqarrub diri kepada Allah SWT dan harmoni beragama sesama manusia.

 

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada ibnu Umar yang bermaksud:

 

“Orang mukmin yang cerdik adalah yang paling banyak mengingati mati dan yang sebaik-baik orang mukmin cerdik yang mengingati mati adalah mereka yang membuat persediaan untuk menempuh kepastian sebuah kematian”

(Sanad Hasan - Imam Al-Baihaqi)

 

Artikel ini sebenarnya untuk tatapan sendiri. Semuanya adalah muhasabah untuk diri yang telah melepasi hampir sesuku abad mandiri dipentas dunia ini. Harapnya segala yang dimuatkan akan menjadi doa azimat untuk melakar rencana masa depan dan sempadan diri takut-takut akan tergelincir lagi untuk kali yang entah ke berapa.

 

“Ampun dijunjung kehadrat Allah, andai kalam bicara tidak terlaksana kerana aku hanya hamba-Nya…”

 

Sekian.

 

MUHAMMAD NAJID ABDULLAH

Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia

24 Zulkaedah 1434 /30 September 2013

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa