Mari Memberi

Sebaik-baik manusia adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Orang yang berjaya bukan hanya mampu untuk menghasilkan sesuatu, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada orang lain. Kebahagiaannya bukan hanya mampu memenuhi keperluan diri dan keluarga tetapi juga mampu memberi kebahagiaannya kepada orang lain. Inilah ciri seorang Muslim yang baik. Kita tidak menjadi Muslim yang baik apabila kita kekenyangan sedangkan jiran-jiran kita kelaparan.

Ingatlah, kejayaan yang diperolehi bukan usaha kita semata-mata. Kejayaan kita adalah kerana bantuan orang lain. Sebagai contoh guru yang mengajar kita. Ibu bapa yang membimbing dan mendidik kita sejak dari kecil sehingga dewasa. Rakan-rakan sekuliah dan rakan-rakan sekerja yang selalu bersama kita. Dan semua kejayaan kita pada hakikatnya adalah pertolongan daripada Allah.

Sekiranya kini kita mempunyai rezeki dan ilmu yang cukup, rancanglah sesuatu bagi menggabungjalinkan keduanya untuk tujuan membantu orang lain. Bermula dengan adik-beradik dan saudara terdekat. Kemudian kita buatlah perancangan untuk membantu jiran tetangga dan orang lain. Kita perlu mengetahui siapa jiran tetangga yang memerlukan kita. Jiran yang menganggur, lanjut usia dan sakit. Mereka sangat memerlukan bantuan kita. Apabila kita membiarkan mereka bererti kita membiarkan mereka terjerumus ke dalam kekufuran. Ingatlah, kemiskinan itu boleh menjadi asbab kepada kekufuran.

Menolong orang adalah rezeki bagi kita kerana rezeki tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Menolong orang lain supaya mempunyai harga diri di depan anak dan isterinya juga adalah rezeki. Membantu anak jiran tetangga supaya dapat bersekolah dan berjaya juga adalah rezeki. Kadang-kadang kita merasa berat mengeluarkan apa yang kita perolehi. Padahal apa yang kita keluarkan bagi membantu orang lain itu adalah rezeki kita.

Keprihatinan kepada keadaan orang lain akan melahirkan kesetiaan sosial yang tinggi. Apabila kita prihatin kepada orang lain kemudiaannya diikuti oleh orang lain pula mengambil berat pada yang lain, situasi sebegini bakal berterusan dan tidak terputus.

Sungguh beruntung bagi mereka yang dikurniakan oleh Allah peluang berbakti kepada orang lain. Orang lain adalah ladang amalan kita. Apabila kita memiliki potensi yang lebih daripada orang lain, kita mesti menanamkan niat memberi manfaat sebanyak-banyaknya kepada orang lain. Kelebihan yang ada pada kita hakikatnya adalah amanah yang diberikan oleh Allah dan pastinya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Apabila Allah mengurniakan sedikit kelebihan kepada kita, pasti ada orang lain yang memerlukannya. Seseorang yang memiliki kelebihan dan menganggap seolah-olah kelebihan itu adalah miliknya sendiri, kemudian dia berlaku sombong, merendahkan orang lain, menghina dan menyakiti orang lain. Orang seperti ini tidak akan disukai oleh seluruh makhluk yang ada di bumi. Bahkan bumi tempat dia berpijak juga tidak merelakannya berdiri dan tinggal di atasnya. Orang yang sombong semestinya tidak akan diterima menjadi penghuni syurga.

Sahabat-sahabatku, sedarilah pada masa kini keadaan umat Islam adalah buruk. Antara sebabnya adalah tiada sikap keprihatinan sesama umat. Apabila kita memerhatikan secara mata kasar, sebenarnya ramai saudara-saudara kita yang mendapat harta yang lebih pada masa. Ramai orang Islam yang mempunyai kepakaran dan jawatan yang tinggi. Namun, mengapa masih ada lagi umat Islam yang berada dalam keadaan yang membimbangkan? Ini disebabkan oleh kurangnya semangat persaudaraan di kalangan kita. Pada ketika inilah fungsi rumah diperlukan. Apabila umat Islam bersatu, orang kaya membantu orang miskin, para intelektual membimbing orang awam, para pegawai membantu orang bawahan pasti umat Islam membangun dan menjadi umat yang hebat. InsyaAllah.

 

MOHD MUHAIMIN BIN MAZLAN

PEGAWAI PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa