Banner-Aktiviti-2014

TAZKIRAH MINGGUAN - SIFAT SOMBONG DALAM ISLAM.
oleh Ust Othman Mat Zain, 19 Jamadil Awal 1439H bersamaan 5 Februari 2018.

TAZKIRAH SIFAT SOMBONG DALAM ISLAM Ringkasan:
Banyak kisah mengenai kebinasaan yang diterima oleh mereka yang bersikap sombong tetapi nampaknya masih ramai lagi yang bersikap begitu terhadap sesama manusia. Sebagai contoh, iblis telah diusir dari syurga kerana sifat sombongnya yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s. Begitu juga kisah Firaun dan bala tenteranya juga menerima nasib yang sama apabila ditenggelamkan ke dalam laut kerana sikap sombongnya yang mengakui diri sebagai Tuhan.

Mengapakah kita dilarang bersikap sombong? Ini kerana manusia adalah makhluk yang lemah. Tidak layak makhluk yang lemah itu bermegah-megah dan sombong terhadap Allah s.w.t yang menjadikan alam semesta ini. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, masih ramai manusia yang lupa diri sehingga menjadi sombong untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain dan menganggap diri sempurna segala-galanya.

Rasulullah s.a.w berkata: "Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab: "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata: "Penghuni syurga adalah orang yang lemah lagi direndahkan orang lain, kalau dia bersumpah (berdoa) kepada Allah s.w.t nescaya Allah kabulkan doanya. Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab: "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata: "Penghuni neraka adalah orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong perangainya", hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang sombong akan mendapat kehinaan di dunia ini yang berupa kejahilan sebagai balasan daripada perbuatannya. Allah s.w.t tidak suka manusia memiliki sifat ini kerana sombong merupakan perangai iblis. Ketika Allah memerintahkan ia bersujud kepada Adam a.s, ia enggan kerana merasakan dirinya lebih baik. Sebaliknya, Nabi Adamlah yang perlu bersujud kepadanya. Ini kerana ia dijadikan daripada api dan Nabi Adam a.s pula daripada tanah.

Allah s.w.t memerintahkan agar kita bersikap tawaduk dan rendah diri. Semua kita ini adalah hamba Allah s.w.t yang berasal dari setitis air mani yang hanyir lagi hina. Kemudian menjadi seketul darah yang hitam. Oleh itu, apalah yang hendak dibanggakan? Akhir sekali nanti, kita akan kembali kepada pencipta dalam keadaan kaku dan tidak bernyawa. Tidak mampu melakukan apa-apa lagi dan tidak berkuasa menolak takdir yang telah dijanjikan itu.

Oleh itu, berwaspadalah dengan sifat sombong ini. Banyakkan berdoa agar dijauhi sifat yang dibenci Allah ini. Mudah-mudahan kita dijauhi dari bakaran api neraka yang sentiasa marak menyala-nyala.

Kumpulan PMBK

01b 02b AiPROa 04b KGTSBa 06b  08b 09b 10b 11b 12b BTCSBa 14bQPTSBa