AKTIVITI.BM.27.9

lagenda.tunjong

Majlis Pecah Tanah Lagenda Tunjong & Pelancaran Jualan Chesiti Village Mall
Oleh: Salmah Husain dan Shariah Derahman, Foto: Ahmad Nai’me Muhammad, 23 Jun 2013

 

TUNJONG: Kerajaan Kelantan sekali lagi membuktikan kejayaannya dalam memajukan Bandar Baru Tunjong menerusi pertambahan projek baru bagi fasa pertama, iaitu pembinaan Lagenda Tunjong dan CheSiti Village Mall. Projek tersebut bakal dimajukan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan melalui Tunjong Development Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Sara-Timur Sdn Bhd.

Lagenda Tunjong adalah antara komponen yang bakal menjadi mercu tanda pembangunan Kelantan selepas ini. Dengan berlakunya Majlis Pecah Tanah pada 14 Syaaban 1434H bersamaan 23 Jun 2013 di Tapak Projek Lagenda Tunjong, Bandar Baru Tunjong (BBT), maka bermulalah satu titik tolak bagi satu lagi pembangunan komersial yang akan merancakkan lagi pembangunan keseluruhan BBT di mana pelaburan berjumlah RM1.2 billion ini adalah yang paling besar pernah dilakukan oleh syarikat Sara-Timur Sdn Bhd (dahulunya berpengkalan di Sarawak).

 

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, pembinaan Bandar Baru Tunjong membuktikan kesungguhan kerajaan Kelantan dalam membangunkan negeri ini. Kerana itu, tegasnya kerajaan negeri menerima penglibatan daripada pelabur lain selain dari agensi kerajaan negeri sendiri.

 

Melalui ucapannya, “Alhamdulillah, inilah yang kita perjuangkan di Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam. Pendekatan ini tidak pernah menyebabkan para pelabur lari. Sebaliknya satu demi satu rancangan pembangunan untuk rakyat Kelantan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.” Sehubungan dengan itu, pengecaman dan pemilihan tapak yang paling dekat dan strategik untuk dibangunkan ialah di kawasan Tunjong di mana kawasan ini sebahagian besarnya merupakan tanah-tanah padi yang sebahagian besarnya tidak diusahakan secara ekonomik. Kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang tersedia ada di kawasan ini juga menjadi faktor utama tapak ini dipilih.

 

Bandar Baru Tunjong ini merupakan satu bukti kesungguhan kerajaan negeri membangunkan kawasan di pesisir bandar sehingga menjadi sebuah bandar baru. Ia bermula pada awal tahun 2000 lagi di mana kerajaan negeri telah merancang untuk membangunkan sebuah bandar baru berhampiran dengan bandar Kota Bharu yang sedia ada. Ini disebabkan Bandar Kota Bharu tidak lagi mampu untuk memberikan ruang dan tapak yang strategik untuk dibangunkan sebuah bandar yang lebih tersusun dan moden disebabkan kurangnya tanah-tanah yang belum dibangunkan.

 

Katanya, “untuk itu komitmen yang lebih jitu perlu kita garapkan bersama untuk menjayakannya memandangkan banyak lagi fasa pembangunan di sini yang perlu dibangunkan oleh pihak berkaitan,” ujarnya.

 

Pelan Pembangunan bandar ini merangkumi tanah seluas lebih kurang 1,600 ekar di mana tanah ini adalah berstatus perseorangan. Oleh itu kaedah pengambilan balik tanah perlu dijalankan sebelum ianya dibangunkan.

 

Setakat hari ini, hampir 200 ekar tanah telah selesai proses pengambilan tanah di mana melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM90 juta telah dibayar kepada pemilik asal tanah. Nilai pembangunan yang telah dan akan dibawa masuk oleh rakan kongsi PMBK dan TDC ialah RM2.65 billion.

 

Berdasarkan pelan guna tanah yang disediakan oleh pihak PMBK dan Tunjong Development Corporation, diperuntukkan rizab tanah seluas 250 ekar untuk dibangunkan oleh kerajaan Pusat, manakala 1,000 ekar dimajukan pembangunan komersial oleh kerajaan negeri. Selebihnya iaitu 350 ekar rizab tanah untuk pembangunan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, pusat rawatan kumbahan berpusat dan sebagainya.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah mantan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pengerusi Sara-Timur, Prof Emeritus Dato’ Dr Zawawi Ismail berkata melalui ucapannya, “CheSiti Village Mall yang telah dilancarkan jualannya pada hari tersebut juga merupakan antara fasa pertama pembangunan bandar baru ini yang akan dimulakan oleh Lagenda Tunjong yang dahulunya dikenali sebagai Kota Bharu ”

 

Ia dijangka akan menjadi pusat beli-belah paling unik di Timur Laut Malaysia di mana ia akan dilaksanakan dalam tujuh fasa dalam tempoh lebih lima tahun. Reka bentuk terbuka pusat ini akan menampilkan ciri-ciri moden bertemakan jalan pejalan kaki antaranya seperti jalan Kelantan, Malaysia, Antarabangsa dan Arabesque.

 

Dengan fasa pertama pembangunan yang akan terdiri daripada lebih 200 kedai, butik, kafe, bistro dan kedai khusus yang terdiri daripada fesyen, kesihatan dan kecantikan hingga permainan, buku, peralatan sukan, IT dan peranti berkaitan. Dijangka pusat beli-belah ini akan menjadi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negeri apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak.

 

Timbalan Pengarah TDC, YB Azami Mohd Nor yang menyampaikan ucapan turut menyeru kepada semua pihak sama ada pemimpin kerajaan, jabatan dan agensi awam, sektor swasta dan seluruh lapisan masyarakat agar terus berganding bahu dan bekerjasama memastikan pelaksanan pembangunan BBT ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

 

Setakat ini, proses pembangunan di Bandar Baru Tunjong berjalan dengan lancar dan sempurna. Sekalipun Kelantan ditekan dengan pelbagai tekanan dan diskriminasi, tetapi ia sama sekali tidak menghalang hasrat pelabur untuk terus merancakkan negeri ini dengan pelbagai aktiviti perniagaan. Ini membuktikan bahawa segala tohmahan yang dilemparkan kepada negeri Kelantan sama sekali tidak memberikan kesan kepada masyarakat bahkan sebaliknya ia menjadi faktor penarik kepada pelabur-pelabur melebarkan sayap perniagaan masing-masing di negeri ini.

 

Di antara jabatan atau agensi yang telah menyertai BBT ialah Terminal Makanan Negara (sekarang ini dikenali sebagai Pusat Transformasi Bandar/RTC), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Jabatan Audit Negara, Jabatan Pelajaran Negeri dan lain-lain. Ia juga mendapat sambutan hangat dari pihak swasta seperti Noble Residence Sdn Bhd yang akan membina  Pusat Perniagaan Darul Naim & Dataran Rakyat, Mydin Holdings Berhad yang membina Hypermarket Mydin serta pelbagai pihak lain termasuklah Sara-Timur Sdn Bhd yang bertanggungjawab membangunkan Lagenda Tunjong ini.

 

Di dalam membangunkan Bandar Baru Tunjong ini, pihak kerajaan negeri Kelantan mengharapkan komitmen yang tinggi dan berterusan daripada pelbagai pihak termasuklah kerajaan Persekutuan dan pihak swasta. Sehingga ke hari ini, satu demi satu jabatan kerajaan dari pihak Persekutuan bersetuju untuk menyertai pembangunan Bandar Baru Tunjong.

 

Kumpulan PMBK

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.