AKTIVITI.BM.27.9

Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia 2013 peringkat negeri Kelantanhari.malaysia

Oleh: FBI, 18 Sept 2013

 

16 September 1963, satu tarikh yang jarang diingati oleh rakyat Malaysia berbanding 31 Ogos 1957 iaitu Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh 16 September ini sangat penting kepada negara kerana pada tarikh inilah negara Malaysia yang berdaulat ditubuhkan hasil penyatuan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum akhirnya Singapura menarik diri pada 9 Ogos 1965. Sabah dan Sarawak memperoleh kemerdekaan penuh pada tarikh ini dengan penyertaan mereka ke dalam Malaysia.

Sejarah penubuhan Malaysiadan rentetan peristiwa penting penubuhan ini berlaku apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah mencadangkan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi yang akhirnya membawa kepada tertubuhnya Malaysia.

 

Pada tahun 2010, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum di seluruh negara. Ini bermakna mulai 2010, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Menerusi Hari Malaysia, kerajaan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak selepas mereka membuat keputusan untuk menyertai Malaysia sejak 1963 turut dirasai penduduk di Semenanjung.

 

Pada 16 September 2013 lalu, seluruh negara telah mengadakan Sambutan Jubli Emas ulang tahun Hari Malaysia ke-50 tahun. Kelantan tidak terkecuali turut mengadakan sambutan berkenaan di peringkat negeri. Bertempat di Stadium Mini Pasir Mas, sambutan yang bermula pada pukul 8.30 pagi telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang mewakili Menteri Besar Kelantan. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Abdullah Ya'kub, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Mohd Fadzli Dato’ Hassan, Hanifa Ahmad, Ketua Jajahan Pasir Mas, dif-dif kehormat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

 

Sambutan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan dihadapan perbarisan kontinjen yang mengenakan pakaian seragam mewakili jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun. Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut serta dalam perbarisan sambutan Hari Malaysia kali ini dengan menghantar seramai 30 orang pegawai dan kakitangan yang mengenakan seragam berwarna merah. Logo sambutan turut dicipta untuk sambutan kali ini berbentuk kelopak bunga yang mempunyai empat warna iaitu merah, biru, kuning dan putih simbolik bendera Malaysia.

 

Acara turut dimeriahkan dengan pertunjukkan Seni Silat Gayong Malaysia, persembahan seni Wushu oleh pelajar SMJK Chung Hwa dan Chung Cheng, demonstrasi menyelamat oleh anggota Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan. Gimik perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Timbalan Menteri Besar yang diringi perbarisan kadet polis dan 50 orang pemegang bendera Malaysia di hadapan pentas utama sebagai simbolik Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Hari Malaysia. Acara tamat pada pukul 10 pagi dengan iringan doa oleh Pegawai Agama Jajahan Pasir Mas.

Kumpulan PMBK

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.