Demikian kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan malam tadi. Mesyuarat itu bersetuju untuk membenarkan PAS terus menerangkan mengenai undang-undang syariah itu di samping menyatakan dengan jelas DAP tidak menyokong ianya dilaksanakan.

"Kesediaan DAP selaku parti komponen dalam Pakatan Rakyat untuk menghormati hasrat kerajaan negeri Kelantan adalah merupakan satu perkara yang cukup besar ertinya dan jauh lebih baik daripada UMNO yang mendakwa sebagai parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam namun sehingga kini masih enggan memberikan laluan untuk hudud dilaksanakan di Kelantan," kata beliau.

Dalam erti kata lain, katanya, pimpinan Umno harus malu dengan pimpinan DAP yang sering dilabelkan sebagai anti Islam namun dalam masa yang sama bersikap positif terhadap hasrat kerajaan negeri Kelantan.

"Sewajarnya Umno memberikan laluan dan berusaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali.

"Akta inilah yang membatasi kuasa mahkamah syariah di setiap negeri khususnya Kelantan untuk melaksanakan hudud," kata beliau dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, DPPNK menggesa seluruh NGO, para mufti dan ulama serta pergerakan Pemuda Umno untuk menggiatkan usaha mendesak kerajaan pusat untuk meminda akta tersebut bagi memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.

"DPPNK ingin memperingatkan, hudud bukannya agenda peribadi mana-mana pihak atau parti, tetapi ia merupakan kewajipan daripada Allah SWT untuk pemerintah," tegas beliau.

Perlu diingatkan, katanya, halangan terbesar hasrat ini pada hari ini bukannya DAP seperti yang digembar-gemburkan oleh Umno tetapi Umno sendiri yang menjadi penghalang.

"Jika Umno yang mempunyai ahli parlimen yang teramai di Dewan Rakyat masih lagi enggan untuk memberikan laluan, maka jelaslah bahawa slogan mempejuangkan agama Islam yang dilaungkan oleh UMNO hanyalah satu retorik semata-mata," tambah beliau lagi.

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.