Katanya, penduduk bebas melantik penilai mereka sendiri untuk menilai tanah mereka dan diberi peluang membeli semula lot-lot kemajuan di situ.

“Penduduk diuruskan dengan baik, kita meletakkan syarat kepada pemaju awal-awal lagi supaya menyediakan penempatan kepada penduduk sementara membeli lot-lot yang dimajukan.

“Mereka masih boleh kekal tinggal di kawasan asal jika berminat,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Pada 8 September lalu, penduduk Seksyen Gajah Mati mengadakan protes bagi membantah pengambilan balik tanah mereka oleh kerajaan Kelantan yang didakwa tidak mengikut prosedur.

Ahmad berkata, Pembangunan Bercampur membabitkan kerjasama antara syarikat swasta dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam di kawasan itu dilaksanakan bagi tujuan penyusunan bandar itu.

“Kita melihat kawasan itu tidak terurus, perlukan penyusunan selari dengan pembangunan Kota Bharu itu sendiri, tidak timbul soal rampas tanah bahkan kita menaik taraf tanah di situ,” katanya.

Pengambilan itu katanya, memenuhi keperluan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 yang sepatutnya tidak memberi masalah kepada kerajaan negeri untuk membuat pengambilan.

Penduduk terlibat katanya, perlu berterima kasih kerana Kerajaan Negeri menguruskan mereka dengan begitu baik serta menyediakan peluang kepada mereka untuk kembali mendiami kawasan tersebut.