“Kami akan usahakan semua ini dalam masa sebulan, di mana banyak benda yang ingin diubah suai dan ditambah baikkan seperti kemudahan tandas, surau, dan wakaf-wakaf untuk kegunaan orang ramai.

“Bukan itu sahaja, kami akan menyediakan gerai-gerai khas untuk peniaga serta menanam semula pokok-pokok rhu bagi mencantikkan dan meredupkan kawasan di sini sesuai untuk aktiviti perkelahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika Program Gotong-Royong oleh Jabatan Tanah dan Jajahan Pasir Puteh di sini, semalam.

Program tersebut turut disertai oleh Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim bersama-sama dengan agensi kerajaan yang lain serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), penduduk setempat yang berjumlah 1,000 orang semuanya.

Menurutnya, selepas sebulan diubah suai pihaknya akan mengadakan pesta pantai bagi menarik perhatian orang ramai ke sana.

Nazran berkata, pesta tersebut akan diadakan pada Oktober ini dan ia akan melibatkan persembahan kebudayaan, pameran oleh agensi kerajaan, serta jualan daripada peserta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Semerak.

Katanya, ini semua bertujuan untuk menghidupkan kembali nostalgia Pantai Bisikan Bayu yang sebelum ini menjadi pusat utama perkelahan dan mandi-manda orang ramai.

“Bukan sahaja Pantai Bisikan Bayu, tetapi semua kawasan yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan di kawasan Semerak dan Tok Bali, akan kami naik tarafkan dan ia akan diadakan secara berperingkat-peringkat.

“Jadi kepada orang ramai, selepas sebulan ini, mereka boleh datang dan lihat sendiri perubahan pantai hasil daripada kerjasama semua agensi dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat,”katanya.