BERITA.BM.27.9

Belanjawan 2014: Kelantan utamakan pendidikanalt        

Harakah Daily, Salmah Mat Husain, 08 Okt 2013

 

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih mengekalkan antara peruntukan yang tinggi kepada pendidikan melalui Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebanyak RM72 juta bagi tahun 2014.

 

Selain peruntukan itu, kerajaan negeri turut menyediakan sejumlah RM4 juta untuk projek pembangunan penyelenggaraan di samping pembinaan sebuah sekolah Maahad Muhammadi Sains (Lelaki) dengan kos RM12 juta.

 

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika berucap membentangkan Belanjawan 2014, berkata kerajaan negeri juga sedang menaiktaraf 91 buah sekolah di bawah kelolaan Yik.

 

“Peruntukan ini diberikan kerana keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan infrastrktur dan kemudahan asas pelajar yang mendalami pengajian agama sentiasa diutamakan,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2014 negeri pada sidang Dun, semalam.

 

Menurutnya, sehingga kini terdapat 91 buah sekolah agama termasuk dua daripadanya Maahad Tahfiz A-Quran dan empat buah Maahad Tahfiz Sains dikendalikan di bawah Yik.

 

Ahmad seterusnya memberitahu, selain itu kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sejumlah RM2 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) untuk tujuan merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Kias sebuah kolej universiti.

 

Katanya, kerajaan negeri berharap pihak kementerian berkenaan dapat mempercepatkan kelulusan permohonan untuk menjadikan Kias sebagai sebuah kolej universiti.

 

“Sehingga tahun 2013, Yakin menyediakan biasiswa kepada 693 orang pelajar peringkat sekolah menengah agama dan sekolah menengah umum.

 

“Bagi pinjaman pelajaran dalam negeri pula Yakin telah menaja seramai 996 orang pelajar,” ujarnya.

 

Selain itu juga, menurutnya lagi Yakin berusaha meringankan bebanan hidup yang ditanggung pelajar khususnya di Mesir yang telah sekian lama menjadi tempat anak-anak Kelantan belajar.

 

Untuk itu, katanya sebanyak 345 kuota bagi kemudahan pinjaman luar negara telah disediakan kepada pelajar di Mesir, Jordan dan Indonesia.

 

Pada masa yang sama, Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada pelajar cemerlang Kelantan yang disifatkannya sebagai semakin menyerlah.

 

Jelasnya, pada tahun 2012, kecemerlangan pelajar di bawah sekolah-sekolah Yik semakin menyerlah di mana seramai 315 orang pelajarnya berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A dalam PMR.

 

Sambungnya, seramai 186 orang pelajar pula mendapat 9A hingga 12A dalam SPM dan seramai 115 orang pelajar mendapat pangkat Mumtaz dalam STAM.