BERITA.BM.27.9

lebuh Raya RakyatKajian lengkap projek baru Lebuh Raya Rakyat siap
Harakah Daily Online, Aslani M, 09 Sep 2013

KOTA BHARU: Penantian rakyat Kelantan untuk melihat Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bakal menjadi kenyataan selepas mendapat komitmen penuh syarikat dari Emeriah Arab Bersatu.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sebuah konsultan, Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group sudah menyampaikan kajian lengkap mengenai projek tersebut.

“Kita akan putuskan secara rasmi dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri tidak lama lagi selepas mendapat maklumat awal cadangan projek.

“Selain itu aspek pembiayaan turut dibincang bagi mendapat kerjasama Bank Pembangunan Asia (IDB).

“Berdasar kepada taklimat mereka 5 September lalu perkembangannya cukup positif. Jadi kita berharap ia sebagai suatu kejayaan,” katanya di sini.

Lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu sepanjang 68 km dirancang kerajaan negeri ekoran projek berkenaan dipinggirkan kerajaan pusat sejak 1986.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad memberitahu kerajaan negeri melantik konsultan baru pada 26 Julai lalu bagi menyediakan kertas cadangan projek berkenaan.

Menteri Besar berkata, laporan terperinci daripada Ecobound telah disampaikan kepada kerajaan negeri.

“Projek berkenaan akan diteruskan melalui sistem wakaf. Insya-Allah projek tersebut akan dimulakan semula tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada projek Lebuh Raya Rakyat,” ujarnya.

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat telah dimulakan awal tahun ini di tapak Bukit Bakar, Machang. Bagaimanapun kerja-kerja awal tertangguh ekoran syarikat lama menarik diri.

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.