BERITA.BM.27.9

Gangguan hanya dua hari

Sinar Harian, 7 Nov 2013

 

Kota Bharu: Gangguan bekalan air di Bazar Tok Guru hanya berlaku dalam dua hari bukan hampir dua minggu sebagaimana didakwa wakil peniaga sebelum ini.

 

Pengerusi Persatuan Pemborong dan Peruncit Bazar Tok Guru, Sayuti Che Pa, gangguan tersebut berlaku pada Jumaat dan Sabtu lalu berikutan masalah pam.

 

“Terdapat dua pam di bangunan bazar ini, salah satunya rosak menyebabkan berlaku gangguan, tetapi air masih ada cuma tidak kuat dan mungkin sebahagiannya lokasi tidak dicapai”.

 

“Pada Jumaat kedua-dua pam itu rosak menyebabkan terputus bekalan selama dua hari, namun saya segera hubungi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) memaklumkan perkara itu,” katanya.

 

Sayuti berkata, disebabkan cuti umum, proses selesaikan masalah itu ambil sedikit masa, sebelum berjaya diselesaikan kelmarin, selepas wakil PMBK mengarahkan pembekal pam menukar salah satu pam sedia ada.

 

“Walaupun terpaksa mengetepikan beberapa proses namun PMBK proaktif bantu selesaikan masalah kami, dengan mengeluarkan arahan kepada pembekal sekali gus memastikan gangguan bekalan air di sini berjaya diatasi,” katanya.

 

Sambil mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan PMBK, Sayuti berkata, pemasangan pam baru yang dijangka mampu menampung bekalan air hingga ke tingkat lapan (walaupun bazar itu memiliki tiga tingkat sahaja) premis berkenaan.

 

Sinar Harian Selasa lalu melaporkan kira-kira 280 peniaga di bazar berkenaan berdepan kesulitan berikutan gangguan bekalan air yang berlarutan hampir dua minggu lalu.

 

Ekoran daripada itu, mereka menggesa tindakan pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah dihadapi agar tidak berlanjutan dan mengganggu aktiviti harian mereka di premis berkenaan.