News_Banner_Berita_Terkini
AES Wajar Ditangguh, Negeri Pakatan Mahu Kaji
HarakahDaily Online, Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan harus menangguh pelaksanaan sistem kamera automatik (AES) memandangkan 40 peratus daripada jumlah kamera tidak akan dipasang di negeri Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata peratusan menolak pemasangan AES sangat besar dan beliau merasakan kerajaan harus menilai semula pelaksanaan peraturan baru itu.

Katanya, negeri Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk menangguhkan pemasangan kamera AES sehingga kajian terperinci dilakukan termasuk mendapat pandangan daripada pengguna jalan raya.

Sebanyak 331 kamera yang akan dipasang di negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.


Jumlah itu adalah 40 peratus daripada jumlah kamera yang akan dipasang seluruh negara iaitu 831 kamera.

"Kerajaan pusat melaksanakan peraturan ikut suka mereka, Pakatan Rakyat mahu bincang dan sembang bersama rakyat terlebih dahulu berhubung pelaksanaan AES," katanya dalam sidang media lewat petang ini.

Mahfuz juga menolak bahawa penggunaan kamera AES boleh mengurangkan rasuah di kalangan anggota polis.

"AES tidak boleh atasi masalah rasuah sebab akan ada 'mobile camera' yang akan diuruskan oleh pegawai yang berkemungkinan berlaku macam-macam," katanya.

Bersama dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang turut membidas Ketua Menteri Pengangkutan Kong Chong Ha yang memberikan autoriti kepada syarikat pengendali AES sehingga tempoh lima tahun.

"Kenapa perlu bagi kepada syarikat tersebut, selepas lima tahun baru kamera tersebut dikembalikan kepada kerajaan. Apa guna kita dapat balik selepas lima tahun? Saya tidak lihat apa kebaikan? Adakah kita akan guna selepas lima tahun? Pulang balik sebab sudah dapat untung," katanya.

Guan Eng turut menegaskan kerajaan pusat perlu mendapat permohonan daripada kerajaan negeri untuk memasang kamera tersebut.

"Exco sudah buat keputusan untuk tangguhkan, penangguhan bukan sekadar dapat maklumat yang terperinci bahkan perlu dibincangkan di peringkat kerajaan negeri khususnya pengguna," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau turut mempersoalkan tempoh saman AES akan dikeluarkan kepada pesalah trafik sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.

"Bila saman akan sampai kepada pesalah, adakah lepas PRU? Saya dengar kerajaan sudah takut untuk keluarkan saman sebab berpuluh-puluh ribu pengguna jalan raya marah dengan peraturan ini," katanya.

Guan Eng turut menggelar kamera AES sebagai kamera 1Malaysia memandangkan ia mengenakan saman kepada rakyat 1Malaysia.

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.