News_Banner_Berita_Terkini
Ladang Rakyat kekal konsep kebajikan   
HarakahDaily Online | Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 17 OKT: Gara-gara tidak dimasukkan kos pelaksanaan kerja syarikat bagi tahun dua dan tiga menyebabkan berlaku sedikit kesilapan Laporan Audit Negara 2011 berkaitan Tabung Amanah milik Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kesilapan itu biar pun nampak kecil namun ia melibatkan jumlah yang agak besar.

“Ladang Rakyat kekal dengan konsep kebajikan yang tidak berisiko. Ini kerana tanah masih kekal atas nama Ladang Rakyat, tidak dicagar atau tidak dipajak,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2013 pada hari terakhir persidangan Dun petang ini.


Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyebut penyalahgunaan Akaun Amanah Peserta bagi program Pembangunan Ladang Rakyat dikenal pasti antara kerajaan Kelantan gagal mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan pesertanya.

Laporan itu juga mencadangkan program dilaksanakan secara usahasama dengan syarikat bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

Bagaimanapun Ahmad berkata, pendekatan yang diamalkan Ladang Rakyat dengan memberi sewa kepada pemaju dapat mengekalkan tanah milik Ladang Rakyat tanpa memberi hak milik kepada sesiapa.

“Kaedah ini dianggap suatu pendekatan yang baik berbanding melalui usahasama dengan syarikat dengan ekuiti 30-70 atau sebagainya.

“Ladang Rakyat melantik pemaju dengan syarat-syarat yang perlu mereka patuhi. Sekiranya mereka langgar syarikat terbabit akan dikeluarkan demi untuk mengekalkan status Ladang Rakyat dengan konsep berkebajikan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau kerajaan negeri tetap meneruskan program Ladang Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Program Ladang Rakyat diwujudkan sejak 2006 sehingga kini memberi manfaat kepada lebih 4,500 penduduk miskin di seluruh Kelantan, di mana bulan mereka diberi dividen sebanyak RM200.