News_Banner_Berita_Terkini
Pusat hanya peruntuk RM540 juta atasi masalah air bersih
Sinar Harian Online

KOTA BHARU, 24 APR: Kerajaan Negeri menafikan menerima peruntukan RM1.058 bilion daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri sebagaimana kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja raya, Utiliti, dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman berkata, setakat ini, peruntukkan pinjaman yang diberikan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berjumlah RM540 juta berbanding kelulusan RM618 juta yang diberikan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) hingga RMK10.


“Malah, peruntukkan yang disediakan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM 347 juta sepanjang 12 tahun tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana hanya tahun 2011 dan 2012 sahaja baru projek dilancarkan,” katanya selepas mesyuarat anggota AKSB yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, semalam.

Md Anizam berkata demikian sebagai menafikan kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan RM1.058 bilion, termasuk pinjaman tanpa faedah RM597 juta untuk Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih dalam tempoh 12 tahun.

Mustapa berkata, peruntukan itu membuktikan Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) tidak pernah sama sekali ‘menganaktirikan’ Kelantan biarpun ia diperintah oleh Pas sejak 1990.

Mustapa turut menyifatkan dakwaan kononnya Kelantan dizalimi oleh Kerajaan Pusat dalam isu air hanyalah mainan politik pembangkang malah negeri ini mendapat peruntukan yang sama dengan negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Md Anizam mengakui Kerajaan Negeri tidak mampu menyiapkan sepenuhnya projek bekalan air bersih dalam tempoh singkat, walaupun menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Katanya, perkara itu disebabkan peruntukan itu diluluskan secara berperingkat mengikut keperluan dan pelaksanaan projek.

Dalam masa yang sama, Md Anizam menafikan berlaku salah laku urus tadbir dalam pengurusan AKSB sebagaimana dakwaan sebuah Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan terdapat arahan pihak atasan AKSB supaya kakitangannya menutup mulut terhadap sesuatu isu berbangkit, Anizam berkata, “Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tidak ada menyiasat? Dakwaan itu tidak benar,” katanya.