News Banner Berita Terkini

altAKSB tangani masalah tekanan air di penjara    
Harakah Daily, Aslani M, 06 Sep 2013

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil inisiatif segera bagi memastikan masalah tekanan air ke Penjara Pengkalan Chepa dapat ditangani.

Pengurus Besar, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, penjara tersebut mendapat bekalan air bersih daripada Loji Rawatan Air Chicha yang dihantar melalui tangki Kemumin.

“Hasil tinjauan yang dibuat hari ini mendapati bahawa bekalan air ke penjara melalui kedua-dua punca menghadapi tekanan rendah.

“Namun begitu ia tidak menghalang air tersebut masuk ke tangki sedutan. AKSB juga membuat beberapa pemeriksaan dan mendapati sedikit penurunan dari segi tekanan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Zawari Abd Rashid dilaporkan berkata seramai 1,700 banduan serta kakitangan penjara berdepan masalah apabila terputus bekalan air bersih yang disalurkan AKSB sejak sebulan lalu.

Hanapi berkata, semakan juga akan dilakukan terhadap saluran paip sebelum dan selepas meter penjara walaupun sistem dalaman di bawah seliaan penjara.

Katanya, AKSB juga mengadakan kerjasama dengan kontraktor non revenue water (NRW), Ranhill Water Services membuat ‘step test’ dan juga ‘line proving’ di Tangki Kemumin.

“AKSB juga mengesyorkan pihak penjara membuat pemasangan injap sluise atas paip bersaiz 6 inci dan 4 inci bagi memisahkan aliran air daripada bercampur dengan kawasan perumahan berdekatan,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada aduan yang direkod bermula Ogos sehingga sekarang daripada pihak penjara dan juga pengguna di kawasan sekitarnya berhubung masalah tersebut.