News Banner Berita Terkini

altMB Kelantan gesa polis segera buru dalang    
HarakahDaily,     13 Ogs 2013

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ustaz Ahmad Yakob melahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah tembak dan bunuh yang hampir setiap hari berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, kes demi kes yang berlaku setiap hari ini telah menyebabkan rakyat semakin bimbang dan menimbulkan ketakutan di kalangan mereka.

"Dengan suasana mutakhir ini yang menyaksikan jenayah tembakan menjadi-jadi, kes letupan bom ini semakin membimbangkan kita semua.

"Saya yakin, ini merupakan kerja-kerja pihak yang tertanggungjawab yang bertujuan untuk menimbulkan suasana yang tidak harmoni selain mempunyai motif peribadi yang tersendiri," katanya di Facebook.

Terdahulu beliau semalam menziarahi keluarga mangsa dan lokasi kejadian letupan bom di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Tumpat kelmarin yang menyebabkan seorang pemuda, Mohd Yusrizal Mat Zain terbunuh.

Allahyarham Mohd Yusrizal maut ketika cuba mengambil bungkusan di atas bumbung MPV kereta abang iparnya apabila bungkusan tersebut meletup.

Jenazah Mohd Yusrizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

"Saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Yusrizal Mat Zain. Saya telah melawat lokasi dan keluarga mangsa sejuruh selepas kejadian tersebut berlaku.

"Sesungguhnya ini merupakan ujian yang sangat besar kepada mereka di saat umat Islam sedang berada di dalam suasana sambutan Idulfitri 1434H.

"Harapan saya agar siasatan dapat dijalankan secepat mungkin dan mengenalpasti dalang yang terlibat," katanya.