News Banner Berita Terkini

altUsaha bela rakyat tetap diteruskan
Sinar Harian, Apinah Ab Ghani & Siti Fatihah Awang, 11 Ogos 2013

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menyangkal dakwaan penganalisis politik, Prof Dr Agus Yusof bahawa kerajaan negeri tidak melakukan perubahan selepas 100 hari Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13) sebaliknya hanya meneruskan dasar sedia ada sahaja.

Sambil mempertahankan usaha dilakukan kerajaan negeri, Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memikirkan kaedah terbaik dalam pentadbiran selain mengutamakan aspek kebajikan rakyat.

“Di Kelantan kita meneruskan usaha membela nasib rakyat dengan merancang beberapa program antaranya rumah mampu milik, dan saya juga meminta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood mengadakan kerjasama dengan agensi kerajaan agar halangan untuk menjayakan program berkenaan dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Rumah Terbuka Aidilfitri Mahasiswa Kelantan di sini semalam yang dihadiri hampir 500 mahasiswa seluruh negeri.

Ahmad dalam masa sama mengulas dakwaan Dr Agus yang turut mempersoalkan adakah memadai dengan hanya menjadi kerajaan ‘punch card’ sahaja tanpa memikirkan kesinambungan terhadap beberapa projek dibuat sebelum ini, termasuk Lebuh Raya Rakyat dan pembinaan stadium.

Menurutnya, bagi mereka yang membuat penilaian dari jauh, sudah pasti mengatakan tidak ada perubahan dilakukan, sebaliknya kerajaan negeri meneruskan kerja-kerja pentadbiran dalam bentuk kerjasama antara satu sama lain.

“Dengan doa kepada ALLAH, kita cuba berikhtiar untuk mendapat rezeki daripada ALLAH ini (royalti minyak), orang tak tahu, mereka nak kata apa sekalipun, terpulanglah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas isu yang sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membidas kenyataan Dr Agus dengan menyifatkan andaian dibuat hanya secara rambang.

“Dalam 100 hari nak bina bangunan pun tak kan boleh siap,” katanya dipetik dalam sebuah laman sosial, semalam.

Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri kering idea untuk melakukan perubahan kepada rakyatnya, maka tidak wujudlah pengumuman Menteri Besar yang akan melaksanakan pembinaan rumah mampu milik Mei lalu.

Malah katanya, baru-baru ini juga kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan dasar mesra keluarga untuk menempatkan kakitangan dan pegawai yang berkhidmat dekat dengan ahli keluarga masing-masing, dan ini salah satu perubahan dilakukan dalam tempoh 100 hari selepas PRU13.

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.