“Mengubah Perspektif”

Dalam merenung diri di tangga, memetakan minda tentang kerja pembangunan laman sesawang versi terbaru. Terdetik di akal kecil, versi yang terbaru ini tampak seakan sama seperti versi sebelumnya.  Terlintas kata-kata Albert Einstein dari sebuah buku yang pernah dibaca seketika dulu, "Insanity: doing the same thing over and over again and then expecting different results". Ini adalah kerja yang tak masuk dek akal!

Tidak lama dulu pernah terbaca buku kanak-kanak yang mengisahkan cerita tentang 3 orang sahabat yang buta dengan seekor gajah. Ketiga-tiga mereka semua bertemu dan diminta untuk menggambarkan seekor gajah. Satu mengatakan bahawa gajah adalah panjang dan kurus seperti ular. Yang lain mengatakan bahawa yang pertama tidak tahu apa yang dia katakan dan berkata gajah adalah seperti sebatang pokok, bulat dan tebal. Ketiga pula berkata, kedua-duanya adalah salah, bahawa gajah adalah lebar dan bulat seperti cakera gergasi.

Buat seketika mereka berhenti bercakap, dan mula mendengar dan bekerjasama untuk "melihat" gambaran penuh bagi gajah itu. Apabila seorang lelaki lain (tidak buta) melintasi di kawasan itu dan melihat situasi itu, jelas dia dapat melihat seekor gajah dan dia tahu bahawa 3 orang sahabat tersebut berbahas tentang bahagian yang berbeza daripada seekor gajah itu (belalai, kaki dan telinga). Mereka bertiga adalah buta, jadi mereka gagal dalam memberi gambaran keseluruhan gajah tersebut. Oleh kerana pengalaman mereka adalah terhad kepada bahagian tertentu gajah itu, mereka hanya boleh berbicara sebahagian yang mereka dapat melihat.

Untuk menjadi seorang yang kreatif, seringkali kita dilihatkan seperti seorang yang buta. Kita berhadapan dengan masalah yang kita tidak boleh melihat. Kita bercakap mengenainya, kita melihat ia, dan kemudian kita cuba untuk menyelesaikannya dengan hanya memahami bahagian-bahagian yang kita dapat "lihat". Masalahnya ialah bila kita mula melihat masalah yang sama, secara semulajadi kita akan menawarkan penyelesaian yang sama.

Begitu juga tentang pengurusan kerja yang melibatkan arahan. Prespektif lama ini perlu diubah dari mengarah kepada kerjasama; bermula dengan mengenepikan ego (pemimpin) dan tabiat lama tentang kuasa yang diberikan. “Bad managers tell employees what to do, good managers explain why they need to do it, but great managers involve people in decision making and improvement."

Dari pemerhatian dan pengamatan selama menceburi bidang kerja, pengurusan tidak akan mempunyai semua jawapan dan penyelesaian. Daripada menetapkan bagaimana kerja perlu dilaksanakan (dan mengharapkan ketaatan dan kepatuhan), pengurus perlu bekerjasama dengan pekerja untuk menentukan bagaimana kerja dilakukan dan melakukannya bersama. Dalam amalan kerja "Kaizen", pengurus disarankan untuk bertanya kepada pekerja jika mereka mempunyai idea-idea untuk meningkatkan kualiti kerja dan seterusnya bertindak bersama-sama. Dan tidak hanya melepaskan tugasan kepada orang lain seperti istilah "melepaskan bola di kaki orang lain". Be proactive and co-operative.

Mengevolusikan Prespektif

Setelah lama berkecimpung di dalam dunia kreatif, terdapat pelbagai acuan yang boleh menginspirasikan perspektif baru (secara kreatif). Walaupun beberapa cadangan utama yang dikeluarkan adalah tertumpu kepada mereka bentuk, semua ini boleh diguna pakai untuk menetapkan satu set ciri dan skop baru bagi pengolahan sudut perspektif baru.

Imaginasi kepada Visualiti

Ketengahkan semua idea dan pendapat dalam bentuk percetakan atau catitan yang boleh dilihat secara jelas dan terbuka (contoh: tampal di dinding); adalah cara tunggal terbaik dalam melihat satu penyelesaian baru kepada masalah lama. Ia membantu dalam membentuk penelitian untuk menjana dan mencanai idea-idea dan bukannya semata-mata mengekalkan maklumat atau sebagai notis sahaja.

Perincikan Kata-kata

Kita sering menggambarkan perkara yang sama dengan menggunakan bahasa yang berbeza.  Begitu juga dalam menggambarkan gerak kerja, ia perlu jelas dan mempunyai kesinambungan dan jika kita sering kali menggunakan maksud yang berbeza dari matlamat, gerak kerja kita mungkin "membeku" dan tiada hala tuju. Kata-kata ini juga berkaitan dengan arahan kerja. Jadi amat perlu dalam mencaturkan kata-kata dan memperhalusi arahan supaya jelas dan mudah untuk diambil tindakan. Ia akan menjadi sumber idea-idea yang bernas, istilah kerja dan panduan matlamat.

Resolusi Berbeza

Jika kita terlekat atau terhenti  melakukan tugasan, ia mungkin kerana kita memerlukan jawapan kepada langkah kerja seterusnya. Masalahnya, adakah kita bertanyakan soalan yang  betul. Jika kita bertanya soalan yang sama berulang kali, kemungkinan besar kita akan mendapat jawapan yang sama. Dalam mereka bentuk sesuatu paparan, kadang-kadang terjumpa dengan paparan yang memerlukan visual yang tak masuk akal namun pendekatan yang boleh diambil ialah dengan mencuba pelbagai cara termasuklah mengubah warna, menekankan bahagian yang berlainan dan sebagainya. Helahnya di sini ialah mencuba dan terus mencuba sehingga mencapai jawapan yang baru. Ini secara langsung membentuk resolusi baru.

Dokumentasi dan Analisis

Perkembangan penyampaian data dan maklumat pada hari ini amatlah besar dan banyak sehingga kita sendiri sukar untuk mengingatinya.  Bagi memudahkan cara kerja mendapatkan data inilah wujudnya sistem bertulis seperti surat dan memo (memorandum) yang senang untuk diteliti dan dirujuk semula. Malah terdapat perisian komputer juga yang dapat membantu. Dokumentasi (secara fizikal dan virtual) amat penting, disamping susunan selepas ia di analisis mengikut keperluan dan kategori. Setiap maklumat ini penting dan bukannya sekadar hanya untuk dijadikan bahan kitar semula atau secara virtualnya diletakkan ke dalam "recycle bin". Ia akan membantu secara lebih terperinci kepada strategi dan membantu kita memahami haluan gerak kerja dalam gambaran yang lebih besar, membantu kita mengetahui risiko dan boleh memberi penyelesaian baru. Menyimpan data juga boleh membantu dalam membuat keputusan dan membongkar risiko awal dalam proses kerja.

Pendapat Lain

Apabila menerima tugasan baru, cubalah melaksanakannya dengan cara yang berlainan. Perspektif yang berlainan mungkin dapat menangani masalah dengan lebih efektif. Kita  boleh mencuba aliran kerja yang baru   (seperti "eye-tracking" untuk ujian kebolehgunaan atau perisian yang berbeza) atau teknik baru atau apa sahaja. Kembali kepada kisah 3 orang sahabat yang buta, tanya diri, di mana kita (atau secara berpasukan) buta? Ambillah perspektif yang berlainan agar kita nampak sudut lain untuk melihat gambaran gajah itu lebih jelas. Tugas mereka bentuk memang banyak berkait dengan naluri, imaginasi, dan kreativiti; namun jika tidak dilihat dalam dimensi yang baru atau prespektif yang berlainan, rekabentuk yang dibuat tidak akan ke mana-mana.

Ingatlah jika kita membuat tugas yang sama dengan cara kerja yang sama, kebiasannya kita akan mendapat keputusan yang sama. Beranikan diri untuk meneroka perubahan sekalipun melakukan tugasan yang sama.