Apalah Ertinya Hidup Ini

 

Perkara asas berkenaan dengan moral dan akhlak sepatutnya mendasari peribadi setiap muslim sepanjang zaman. Perkara biasa yang sering diperkatakan malah ianya juga selalu diambil mudah oleh semua orang iaitu akhlak terpuji dasari peribadi setiap muslim adalah agenda besar yang dibawakan Nabi SAW.

 

Terdapat banyak dalil yang menggambarkan betapa pentingnya amalan akhlak mulia dalam kehidupan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

(Surah Al-Ahzab : Ayat 21)

 

Daripada Abi Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

 

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.”

(Riwayat Baihaqi)

 

Saidina Alipernah berkata, maksudnya

 

“Petunjuk adalah sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik adalah sebaik-baik teman, akal merupakan sebaik-baik sahabat dan adab pula sebaik-baik peninggalan.”

(Kitab Al-Adab Islamiah Li Al-Nasyiah: muka surat 10)

 

Setiap hari kita dihidangkan dengan berita keruntuhan akhlak masyarakat. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang besar. Bahkan akal waras manusia tidak lagi mampu membayangkan keruntuhan moral dan akhlak yang berleluasa hari ini.

 

Jenayah buang bayi yang semakin menjadi-jadi, zina yang sudah tidak dipandang jijik lagi, bahan-bahan lucah bertaburan dan mudah diperolehi, dadah, ganja dan pil ecstacy yang semakin hari semakin banyak penagihnya serta seribu satu keruntuhan akhlak yang berlaku adalah kehancuran yang bakal merosakkan generasi moden hari ini dan akan datang jika tidak diubati.

 

Semua ini berlaku pada semua peringkat. Keruntuhan yang menyerang remaja belasan tahub malah kanak-kanak sekolah rendah juga yang sudah pandai membuat onar hinggalah kepada mereka yang bergelar suami atau isteri orang malah datuk dan nenek yang sudah memiliki cucu juga tidak terkecuali.

 

Apakah semua ini petanda bahawa kemajuan dan kemodenan fizikal yang kita kejar hari ini sebenarnya tidak mempu mengimbangi pembentukan modal insan yang mementingkan akhlak terpuji. Jawapannya pasti ada pada kita semua.

 

Kemajuan dan kemodenan infrastruktur seharusnya diimbangi dengan penjagaan akhlak terpuji pada setiap peringkat.

 

Sudah tiba masanya kita berperanan membetulkan kekhilafan yang telah sedikit kita lalaikan. Berubahlah untuk kesejahteraan bersama dan orang Islamlah sepatutnya terkehadapan dalam mengamalkan peribadi terpuji dalam masyarakat. Jadilah contoh kepada penganut agama lain sebagaimana saranan Nabi SAW.

 

Justeru, antara usul yang menjadi cadangan sebagaimana yang terdapat dalam kitab “Tarbiah Al-Aulad” karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan berkenaan dengan penerapan keperibadian unggul dalam hidup masyarakat Islam dan dalam konteks PMBK ia merujuk kepada hubungan interpersonal antara semua kakitangan berlandaskan syariat.

 

Ringkasan praktikal cadangan sebagaimana digambarkan oleh Nabi adalah sebagaimana berikut:

1.mutlah kepada Allah Subhanahu Wataala.

2.ukhuwwah sesama anggota.

3.kasih sayang yang menyuburkan sifat bantu membantu

4.Ithar iaitu melebihkan orang lain mengatasi diri sendiri dalam segenap sudut.

5.toleransi dan boleh memaafkan kesilapan kecil yang dilakukan dalam sosial harian.

6.memperjuangkan hak dan kebenaran mengikut metod terbaik dan betul.

 

Untuk itu, sayugia diingatkan agar kita semua mengambil berat berkenaan dengan keenam-enam perkara ini. Ia adalah saranan yang baik untuk diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat lebih-lebih lagi bagi sesebuah entiti organisasi yang besar seperti Perbadanan Menteri Besar Kelantan ini.

 

Jika tidak kita bendung keruntuhan yang terjadi, apalah ertinya hidup ini dan apakah jaminan yang mampu kita cagarkan untuk berdepan dengan soal jawab Allah di akhirat nanti.

 

Sekian.

 

MUHAMMAD NAJID ABDULLAH

Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia

24 Zulkaedah 1434 /30 September 2013

Subsidiaries

PMBK Sawit Sdn. Bhd. Kifaalah Sdn. Bhd Darul Digital Multimedia Solutions Sdn. Bhd. Tunjong Development Corporation Sdn. Bhd. Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. Air Kelantan Sdn. Bhd. Majaari Services Sdn. Bhd. Kel-Intaaj Sdn. Bhd. Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. Nutrifera Marketing Sdn. Bhd. PMBK Az-Zahab Sdn. Bhd.