KOTA BHARU - Masyarakat islam perlu merebut peluang meningkatkan pelbagai amalan sempena Ramadhan dan diharap dapat membersihkan hati yang kotor dengan pelbagai sifat tidak baik.

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata,selain amalan berpuasa, pelbagai fadilat dalam bulan ini harus direbut setiap umat Islam,termasuk amalan sedekah , iktikad, zikir dan sebagainya.

“Amalan bacaan Al-Quran dan menghayati isi kandungannya perlu ditingkatkan kerana al-Quran menjaga manusia. Kalau kita anti syaitan kita akan kuat.

“Fadilat mengamalkan ajaran al –Quran yang kuat mampu melawan syaitan seperti sifat tidak baik termasuk berjudi, tinggal solat, malas bayar hutang dan lain-lain.” Katanya dalam tazkirah sempena pelancaran program Ihya Ramadhan di Masjid Kota Darulnaim, disini semalam.

Menurutnya, sempena Ramadhan umat Islam tidak hanya memfokuskan kepada amalan berpuasa selama sebulan kerana banyak fadilat bulan Ramadhan yang seharusnya direbut pahala amalannya.

Katanya, banyakkan bersedekah, meningkatkan amalan berzikir dan pelbagai lagi dalam bulan puasa kerana sebagai makhluk tiada sesiapa mengetahui, sama ada masih ada peluang menjalankan ibadat itu pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, pembinaan masjid di lokasi strategik berdekatan pintu masuk Kota Darulnaim memberi banyak kemudahan kepada kakitangan kerajaan yang bekerja di Kota Darulnaim dan masyarakat.

Katanya, ia juga sesuai untuk masyarakat singgah menunaikan solat berikutan kedudukannya di tepi jalan dan bagi golongan tua, tidak perlu menaiki banyak anak tangga untuk memasuki masjid itu.

Program itu turut memuatkan bacaan al-Quran, tazkirah, tadarus, dan Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin sempena Ramadhan.

(Petikan Sinar Harian - Selasa, 02.09.2008)