Jawatankuasa Bersama Pembangunan Aktiviti Masjid Kota Darulnaim (JAMiL) telah menganjurkan kuliah tengahari bersempena dengan Isra’ Mikraj 27 Rejab 1430H, baru-baru ini yang bertempat di Masjid Kota Darulnaim iaitu, pada hari ahad, 12 Julai 2009 bersamaan 19 Rejab 1430H. Kuliah ini disampaikan khas oleh penceramah jemputan iaitu YB Ustaz Dato’ Hj Tuan Ibrahim Tuan Man. Kuliah yang diberi tajuk “Isra’ Mikraj: Kisah Perjalanan Penuh Keajaiban” ini disampaikan dengan penuh menarik oleh penceramah jemputan.

Antara yang hadir ke kuliah tengahari ini termasuklah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan PMBK, Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman dan Pengurus anak-anak syarikat PMBK yang terdiri daripada Darul Digital (DD), Kifaalah, serta Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Majlis yang bermula pada jam 12.00 tengahari ini dihadiri oleh kakitangan di Bangunan PMBK dan SUK juga dimeriahkan dengan kehadiran penduduk di sekitar kawasan ini.

Antara intisari yang disampaikan oleh Ustaz Dato’ Hj Tuan Ibrahim Tuan Man ialah menceritakan tentang perjalanan Rasulullah s.a.w ke langit bagi menghadap Allah s.w.t bagi meminta mengurangkan jumlah solat bagi umatnya. Amalan solat lima waktu ini diperintahkan terus oleh Allah s.w.t tanpa melalui perantaraan malaikat yang menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat dalam agama Islam.

Beliau juga turut menyentuh mengenai anugerah surah al-Fatihah yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w iaitu sebuah surah yang tidak pernah dikurniakan kepada umat sebelumnya.

Di dalam ceramahnya itu, beliau menceritakan detik perjalanan Rasulullah s.a.w penuh dengan keajaiban sepanjang Rasulullah s.a.w diangkat ke langit.

Kuliah ini berakhir pada jam 1.30 petang dan diakhiri dengan solat Zuhur berjemaah dan solat hajat sempena pilihanraya kecil N41- Manek Urai.