Pada 27 Mei 2009, PMBK telah mengadakan satu program tanggungjawab sosial, ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) yang dinamakan “Skim Bantuan Imam Al-Ghazali” yang diberikan kepada pelajar miskin di sekolah-sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Program ini telah diadakan di Dewan Teratai, Kota Darul Naim yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara tetamu VIP yang hadir ialah Ketua Pegawai Operasi, PMBK Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan & Dakwah Negeri Kelantan Dato’ Hj Mohd Amar Nik Abdullah. Selain itu juga, program ini turut mengundang khas adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal untuk memberikan ceramah motivasi kepada para pelajar.

Program bantuan kewangan ini timbul apabila melihat pencapaian prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh adik Nik Nur Madihah Binti Nik Mohd Kamal dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2008 dan PMBK merasa bertanggungjawab untuk membela pelajar-pelajar yang mempunyai potensi cemerlang yang mempunyai nasib seperti adik Nik Nur Madihah. Seramai 100 orang pelajar telah terpilih untuk menerima skim bantuan ini.

Di dalam majlis ini juga, Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut mengumumkan bahawa PMBK akan melaksanakan dasar bayaran gaji mengikut bulan Islam atau juga dikenali sebagai kalendar Hijrah kepada kakitangannya.