AKTIVITI.BM.27.9

Majlis Pelancaran 'Apartment Prima Lagenda'perasmian.majlis.pelancaran.lagenda.tunjong

Oleh Muhammad Ismail Ibrahim, 27 Nov 2013

 

Pada 23 Muharram 1435H bersamaan 27 November 2013, Sara-Timur Urban Development Sdn Bhd, pemaju perbandaran Lagenda Tunjong dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Tunjong Develoment Corporation (TDC) telah melancarkan pembinaan sebuah apartmen bernama Prima Lagenda yang disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertempat di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, Kota Bharu.

 

Majlis bermula pada pukul 10 pagi dengan ketibaan tetamu dan dif-dif kehormat sebelum keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan. Majlis dimulai dengan ucapan oleh Dato’ Dr Mohd Zawawi Ismail, Pengerusi Sara-Timur Urban Development Sdn Bhd dan ucapan oleh YB Dato’ Hj Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Hj Ahmad Yakob.

 

Prima Lagenda, sebuah Modern Lifestyle apartmen bercirikan rekabentuk moden dan eksklusif mengandungi dua blok menara menempatkan 343 unit kediaman di atas tanah berkeluasan 40 ekar dan terletak di tengah-tengah perbandaran Lagenda Tunjong akan dimulakan pembinaannya seawal Mac 2014. Kos pembinaan keseluruhan pembangunan Lagenda Tunjong (dahulunya dikenali sebagai Kota Bharu Sentral) bernilai RM1.2 billion yang mengandungi 7 komponen utama antaranya Che Siti Village Mall, Lagenda Galleria, Lagenda International Hotel & Suits, Regency Lagenda Residences dan Prima Lagenda Apartment.

 

Terletak hanya 5 kilometer dari Bandar Kota Bharu dan di laluan utama Pasir Mas-Machang, pembinaan bandar baru berintegrasi penuh ini merupakan perancangan jangka panjang untuk menjadikan ia sebagai pusat metropolitan masa hadapan Kota Bharu dan dapat memberi alternatif kepada bandar Kota Bharu yang semakin padat.

 

Kini, Bandar Baru Tunjong telah menempatkan kompleks bangunan pentadbiran kerajaan seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Kompleks Mahkamah Syariah, Bangunan Pejabat Tanah dan Jajahan, Bangunan Jabatan Audit, selain dua lagi projek yang akan dan sedang dalam pembinaan iaitu Mydin Hypermart dan al-Waqf (Tunjong Pavilion).

 

Pembangunan Bandar Baru Tunjong adalah berdasarkan kepada suatu pelan induk perancangan guna tanah yang telah diluluskan oleh kerajaan secara keseluruhannya berkeluasan 2000 ekar dan melibatkan 3680 Lot Tanah Milik di mana para pelabur perlu mengikat perjanjian pengambilan tanah dan pembangunan dengan PMBK dan Kerajaan Negeri. Ia diharapkan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan menjana peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.