AKTIVITI.BM.27.9

Hari Terbuka ECER Bersama Rakyatalt

Oleh: Emma Akma, 30 Okt 2013

 

Program Hari Terbuka Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang telah berlangsung pada 21 Zulhijjah 1434H bersamaan 26 Oktober 2013 banyak memberi manfaat kepada rakyat Kelantan. Antara pengisian program adalah persembahan seni budaya rakyat Kelantan, pameran dan jualan serta banyak lagi.

 

Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) juga telah dijemput untuk menyertai pameran sempena program tersebut. Antara agensi yang turut serta dalam pameran dan jualan adalah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd, Jabatan Tenaga Kerja, Lembaga Koko Malaysia, KESEDAR, Jabatan Belia & Sukan Negeri Kelantan dan seumpamanya.

 

PMBK telah mengambil peluang untuk mempromosikan mercu tanda negeri Kelantan, iaitu Bazar Tok Guru (BTG) kepada umum pada hari tersebut. Hasilnya sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai untuk mengetahui mengenai bazar tersebut. Disamping itu juga, PMBK telah mengambil inisiatif untuk mengedarkan majalah Qiadah kepada umum sebagai media cetak bagi menyebarkan maklumat mengenai negeri Kelantan.

 

Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob pada jam 5.00 petang. Turut hadir ke program tersebut ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

 

Memetik ucapan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, “pelaksanaan ECER di Kelantan banyak memainkan peranan untuk membantu membangunkan negeri ini sekaligus membuktikan kerajaan Pusat prihatin untuk memajukan negeri ini supaya Kelantan tidak ketinggalan menjadi sebuah negeri yang maju seperti negeri lain.” Menurut beliau lagi, ECER banyak membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat di negeri ini sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2007.

 

Sementara itu, dalam ucapan perasmian oleh Menteri Besar Kelantan pula, “Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam melaksanakan program-program ECER.” Beliau juga amat berterima kasih di atas penganjuran program ini kerana dengan program sebegini akan melibatkan semua rakyat Kelantan dan dapat memberi peluang kepada rakyat Kelantan untuk menceburi bidang-bidang yang disediakan melalui ECER ini. Disamping itu juga dapat mengukuhkan Kelantan sebagai sebuah negeri Membangun Bersama Islam.

 

Pada majlis tersebut para peserta program ECER yang terpilih telah di anugerahkan sijil oleh Menteri Besar Kelantan sebagai tanda pengiktirafan kepada mereka di atas usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan di dalam bidang-bidang yang diceburi.

 

Majlis di akhiri dengan lawatan oleh Menteri Besar Kelantan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri ke gerai-gerai pameran dan jualan.