AKTIVITI.BM.27.9

Majlis pameran.23.tahun 22.10Sambutan 23 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan-Membangun Bersama Islam

Oleh: FBI, 22 Okt 2013

 

Semalam, 16 Zulhijjah 1434H bersamaan 21 Oktober 2013 telah menandakan genapnya usia 23 tahun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang mula dipimpin oleh Mantan Menteri Besar, Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 21 Oktober 1990 sehinggalah Menteri Besar sekarang, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob. Dalam tempoh tersebut, pelbagai dasar Islamisasi yang dirancang telah dilaksanakan dengan baik meskipun menghadapi pelbagai halangan dan dasar Membangun Bersama Islam ini telah dijadikan pakaian rasmi di dalam mentadbir kerajaan negeri.

 

Sehubungan itu, satu majlis sambutan 23 tahun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan telah diadakan bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang dihadiri oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob Speaker Dun Kelantan, Abdullah Ya’kub, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Faudzi Che Mamat, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nik Kazin Nik Yusof serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. Majlis sambut dimulakan dengan munajat dan solat hajat pada pukul 3.30 pagi yang diimamkan Ustaz Nik Razi Nik Mat dari Pusat Pengajian Pondok Kandis manakala himpunan penjawat awam negeri Kelantan bersama YAB Menteri Besar bermula pada pukul 9.00 pagi.

 

Sebagai agensi korporat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah turut serta dalam himpunan tersebut dengan membuka gerai pameran yang memaparkan pelan strategik dan hala tuju organisasi serta aktiviti-aktiviti organisasi PMBK sejak kepimpinan Mantan Menteri Besar sehingga sekarang. Sejurus selesai memberi ucapan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob telah melawat ke gerai-gerai pameran yang turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan negeri yang lain seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Perbadanan Ladang Rakyat, dan tidak ketinggalan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Pihak PMBK telah menyampaikan cenderahati tanda ingatan selepas beliau menurunkan tandatangan di dalam buku kehadiran pelawat.

 

Majlis sambutan kembali bersambung pada pukul 2.30 petang dengan acara persembahan rakyat sebagai dedikasi kepada Mantan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut hadir di sebelah petang walaupun keadaan kesihatan beliau kurang baik. Beliau menyampaikan sedikit ucapan sebagai konklusi sepanjang pentadbirannya dan hadirin diberi peluang untuk menyampaikan hadiah kepada Tuan Guru sebagai tanda terima kasih, menghargai jasa Tuan Guru mentadbir kerajaan negeri Kelantan selama hampir 23 tahun.