News Banner Berita Terkini


Kelantan tuan rumah tilawah al-Quran selepas 23 tahun

Aslani M,     10 Jun 2013

 

KOTA BHARU: Kelantan mencatat sejarah selepas 23 tahun berada di bawah PAS, pertama kali diadakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

 

Tilawah kali ke-56 diadakan di Balai Islam Lundang bermula malam ini sehingga 14 Jun ini.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Besar; Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Kerajaan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim dan anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pusat.

Perdana Menteri merakam ucapan terima masih kepada Kerajaan Kelantan kerana setuju menjadi tuan rumah pada tilawah kali ini.

"Ini mencatat sejarah sebagai menyambung penyatuan ummah," katanya pada ucapan perasmian.

Sebelum itu, Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana Kelantan dipilih julung kali sebagai tuan rumah.

Ini selaras dengan minat yang mendalam rakyat Kelantan terhadap al-Quran sejak dahulu lagi.

Seramai 29 qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan pada tilawah yang bermula malam ini.