|
There are no translations available.

MAJLIS PERASMIAN LOJI RAWATAN KUMBAHAN AWAM, PERUMAHAN JPN PADANG TEMBAK, PENGKALAN CHEPA DAN HARI BERSAMA PELANGGAN
Pada 9 Oktober 2011 merupakan titik bersejarah di mana buat julung kalinya fungsi loji ini bermula setelah dibaikpulih dan dinaiktaraf dan dirasmikan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Maka, bermulalah lembaran baru sistem pembetungan di negeri Kelantan yang lebih moden dan mematuhi piawaian yang ditetapkan. Majlis tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Dewan Rakyat, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, wakil Indah Water Konsortium (IWK), wakil SPAN, Pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk-penduduk kawasan sekitarnya dengan anggaran 300 orang.
Menurut Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, aspek penjagaan kebersihan merupakan salah satu aspek yang sangat dititikberatkan oleh Allah SWT. Bahkan menjadi syarat untuk menjadi seorang mukmin yang diiktiraf oleh Allah SWT agar menjadi seorang yang suci dari segi zahir dan batin. Batin disucikan dengan zikir, taubat, munajat serta istighfar manakala zahir disucikan dengan segala peraturan bersuci yang ditetapkan oleh Islam termasuklah bersugi, berwuduk, mandi hadas dan sebagainya. Apabila seorang mukmin itu suci zahir dan batin, ia layak untuk termasuk di dalam golongan yang dicintai oleh Allah SWT.
Menurut beliau lagi, kerja-kerja melaksanakan pembetungan dan menyelia kumbahan awam adalah merupakan salah satu daripada agenda untuk menjaga kebersihan. Jika seorang individu muslim diwajibkan untuk bersih, demikian juga negeri atau negara perlu juga bersih, alam semesta dan suasana sekitar juga disyaratkan untuk bersih agar menepati piawaian seorang muslim seperti yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Jika dahulu, isu pembetungan dan kumbahan awam tidak timbul memandangkan bilangan manusia yang kecil. Manusia membuang air besar di luar kawasan kediaman tanpa sebarang pembetungan dan kumbahan seperti hari ini. Bagaimanapun, ia mula menjadi persoalan apabila bilangan manusia bertambah. Di Malaysia, sistem pembetungan hanya wujud pada sekitar tahun 1950-an dan hanya terdapat di bandar-bandar besar, manakala di kampung-kampung pula kaedah lama dan tradisional masih lagi digunakan sehingga akhir tahun 1970-an.
Majaari sentiasa berusaha dengan gigih untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan adalah yang terbaik. Majaari telah berusaha dalam menyediakan dan membaikpulih serta menaiktaraf sistem sedia ada ke arah yang lebih moden dengan kos yang agak tinggi bagi memastikan pengguna mendapat manfaat dan pada masa yang sama dapat memelihara kelestarian alam sekitar. Justeru itu, pengguna yang ingin menikmati perkhidmatan pembetungan yang lebih baik berbanding sebelum ini juga perlulah bersama-sama membuat sedikit pengorbananan melalui pembayaran bil jika dilaksanakan kelak bagi membiayai kos penyelengaraan sistem pembetungan yang akan diuruskan oleh Majaari.
Melalui tinjauan yang dilakukan semasa perasmian tersebut, didapati tahap pengetahuan dan kesedaran masyarakat di negeri ini amat rendah yang mana tidak tahu apa itu loji kumbahan atau sistem pembetungan yang sistematik. Kebanyakannya menganggap loji kumbahan itu adalah hanya dalam bentuk kolam najis dan berbau busuk. Mereka sama sekali tidak menyangka bahawa sistem pembetungan sekarang ini mempunyai satu cara yang lebih sistematik yang diproses secara mekanikal sepenuhnya berbanding cara konvensional. Program ini juga dapat mewujudkan kesedaran kepada seluruh penduduk negeri ini bahawa sekarang ini pembetungan perlu diambil berat dan sedikit kos perlu dikeluarkan bagi menikmati pengurusan pembetungan yang moden, terancang dan efisyen. Adalah diharapkan dengan pembukaan loji rawatan kumbahan ini yang telah dibaik pulih dan dinaiktaraf nanti dapat memberi banyak manfaat terutama sekali kepada rakyat di Negeri Kelantan serta membantu memelihara dan memulihara alam sekitar khususnya sumber air kita. Ia merupakan titik permulaan kepada tranformasi pembangunan pembetungan dan pengurusan yang lebih sistematik. Loji rawatan kumbahan awam yang siap tersebut boleh menjadi contoh atau model bagi pemaju, perunding dan pihak-pihak berkenaan di negeri Kelantan yang sebelum ini kurang mengambil berat tentang keperluan utiliti asas ini. Di samping itu juga diharapkan agar seluruh masyarakat khususnya pengguna yang menikmati perkhidmatan yang lebih baik agar bersama-sama menyokong sebarang usaha perancangan atau pembangunan pembetungan di negeri Kelantan.
Berikut adalah loji-loji yang sedang dibaikpulih dan dinaiktaraf:
1. Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu 2. Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, Kota Bharu 3. Perumahan JPN, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu 4. Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, Kota Bharu 5. Perumahan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu 6. Kasjaria, Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu 7. Taman Tanjung Chat, Kota Bharu 8. Flat Buluh Kubu, Kota Bharu 9. Rumah Kedai Buluh Kubu, Kota Bharu
|