BERITA.BM.27.9

Faudzi Che Mamat dilantik SUK Kelantan barualt

Harakah Daily, Mohd Nor Yahya, 31 Dis 2013

 

KOTA BHARU: Kehadiran tahun baru 2014 membawa makna tersendiri kepada kerajaan negeri apabila turut mendapat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

 

Datuk Faudzi Che Mamat sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri dilantik sebagai SUK menggantikan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim yang bersara mulai esok.

 

Faudzi berkata, pelantikan beliau merupakan satu tanggungjawab yang berat dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kepimpinan kerajaan dan kakitangan awam.

 

“Insya-Allah hasil kerja yang ditinggalkan Datuk SUK akan diteruskan. Saya juga junjung kasih kepada Tuanku yang memperkenankan pelantikan saya dengan restu Menteri Besar,” katanya pada ucapan sulung sempena majlis persaraan SUK di Dewan Teratai petang ini.

 

Majlis persaraan dan penyerahan tugas itu disaksikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco dan ketua-ketua jabatan.

 

Dr Zainuddin ketika berucap di majlis sama memberitahu dapat menimba pengalaman yang amat berharga di bawah kepimpinan ulama di Kelantan.

 

Katanya, beliau bertugas selama 30 tahun sebagai penjawat awam akan mengikut jejak rakan-rakan lain yang sudah bersara dalam perkhidmatan awam.

 

“Saya gembira kerana dapat membantu kerajaan negeri membawa misi Membangun Bersama Islam dan penerapan pentadbiran berteraskan konsep Ubbudiyah, Masuliyyah dan Itqan.

 

“Saya berharap usaha-usaha itu dapat diteruskan sepanjang masa. Saya akan cuba menikmati keseronokan sebagai pesara bermula esok,” ujar beliau.

 

Beliau turut merakamkan ucapan junjung kasih kepada Sultan Kelantan kerana dapat berkhidmat sebagai SUK selama dua tahun enam bulan.

 

Beliau juga turut merakamkan penghargaan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penggantinya sekarang.

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa