Petikan dari Sinar Harian, 17 Januari 2010

 

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur cara penulisan segelintir penulis blog

dan pengguna Facebook yang lebih gemar menulis sesuatu berita tanpa berasaskan fakta.

Beliau mengibaratkan mereka sebagai 'kanak-kanak yang baru belajar naik basikal'.

"Seharusnya, setiap penulisan itu tidak ditulis dengan sesuka hati. Sebaliknya biarlah ditulis dengan fakta yang betul," katanya pada majlis pertemuan dengan blogers di Kuala Lumpur, kelmarin.

Nik Abdul Aziz mengulas berita yang pernah melaporkan seorang penulis blog beberapa bulan lalu bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Katanya, berita-berita berunsur fitnah itu bukan sahaja menyusahkan dirinya, sebaliknya penulis terbabit turut akan menerima balasan neraka.

“Jangan menulis apa yang kamu tidak tahu kerana kelak kamu akan disoal oleh Tuhan tentang apa yang kamu lihat, dengar dan kata. Tulisan yang benar, balasannya syurga, namun jika sebaliknya balasannya neraka.

“Berita mengenai kematian saya tersebar ke seluruh negara, sebaliknya ketika berita itu tersebar, saya sedang duduk berehat di rumah," katanya.

Pada masa sama, Nik Aziz mengumpamakan penulis blog dan pengguna Facebook sebagai seorang guru dan menyeru mereka menulis sesuatu yang boleh membentuk fikiran pembaca ke arah yang lebih baik.

“Sebelum ini, saya tidak pernah tahu dan tidak pernah mendengar mengenai blogers ini. Selepas beberapa kes yang melibatkan saya, barulah saya tahu mengenai kewujudan penulis blog ini.

“Oleh sebab itu, saya menganggap mereka sama seperti seorang guru, wartawan dan juga penulis buku kerana setiap apa yang ditulis mereka memberikan impak besar kepada pembaca walaupun isu yang kecil,” katanya.