HARI KELUARGA PMBK 2011 PDF Cetak E-mail

AKTIVITI_PMBK_DAN_KUMPULAN

HARI KELUARGA PMBK 2011
Admin

Program Hari Keluarga 2011 telah bermula pada hari Khamis, 8 Disember 2011 di Tok Aman Bali Resort di mana PMBK adalah merupakan organisasi pertama yang mengadakan Hari Keluarga di sana. Para kakitangan dan keluarga telah mula tiba di resort seawal jam 3 petang. Keindahan resort yang bercirikan senibina Bali dan suasana pantai yang dijalinkan dengan suara deruan ombak amat mendamaikan. Kepenatan kami bekerja terasa hilang ditiup angin pantai yang kadangkala tenang tetapi terkadang agak kencang di tengah-tengah musim tengkujuh sekarang ini.

Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah dihadiri hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Pengurus-pengurus anak syarikat, serta keluarga masing-masing.

Sempena dengan bulan Muharram yang begitu sinonim dengan bubur Asyura, maka Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK mencadangkan agar diadakan acara membuat bubur Asyura. Para kakitangan telah bergotong-royong bagi menjayakan program ini yang telah bermula dengan persiapan awal bagi menyediakan rempah ratus dan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak bubur asyura pada malam sebelumnya sehingga lewat malam.

Setelah usai mengerjakan solat Subuh berjemaah, kebanyakan para peserta muslimin telah bersiap sedia untuk memulakan acara memasak bubur Asyura. Hampir pukul 9.00 pagi, kami sama-sama menuju ke lokasi memasak bubur Asyura dan bermulalah acara memasak yang diketuai oleh Azamam Hassan dan penjagaannya adalah secara bergilir-gilir.

Aktiviti wajib untuk Hari Keluarga iaitu Sukaneka juga telah diadakan pada hari Jumaat, 9 Disember 2011. Pertandingan untuk golongan dewasa ialah acara berjalan di atas bata manakala bagi kanak-kanak ialah Musical Chair dan tiup belon sampai pecah.

Setelah hampir tengahari, tetamu yang sangat dinanti iaitu Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PMBK telah tiba. Tok Guru terus singgah di tempat memasak bubur Asyura dan meluangkan sedikit masa mengacau bubur tersebut. Selepas itu beliau berehat sebentar kemudian bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran di Kampung Dalam Rhu Semerak.

Ketika ini, kaum muslimat mengambil alih tugas kaum muslimin mengacau Asyura yang telah pekat dan sememangnya ia pengalaman yang manis buat kami semua terutama sekali generasi muda yang tidak biasa dengan bubur Asyura.

Setelah kaum muslimin selesai menunaikan solat Jumaat, para peserta berkumpul di dewan makan bagi menikmati jamuan makan tengahari bersama dengan Tok Guru. Peluang sebegini sememangnya tidak dilepaskan oleh para peserta yang hadir. Suasana nyaman kawasan resort tambah berseri dengan kehadiran para peserta program yang memakai baju hijau sempena tema Hari Keluarga PMBK pada tahun ini. Dalam ucapan perasmian beliau, Tok Guru melahirkan rasa penghargaan kepada pemilik resort tersebut yang sama-sama berusaha membangunkan negeri Kelantan dalam industri pelancongan. Paluan gong sebanyak tiga kali oleh Tok Guru menandakan telah sempurnanya majlis perasmian Hari Keluarga PMBK pada tahun ini. Para peserta meneruskan makan tengahari sebelum bersurai menuju ke lokasi memasak Asyura, kemudiannya meneruskan acara sukaneka untuk kanak-kanak. Dua acara dipertandingkan iaitu cari gula-gula dalam tepung dan isi air dalam botol.

Setelah semua acara sukaneka selesai dijalankan, para peserta telah mengambil peluang untuk menunaikan solat asar secara berjemaah dengan TGNA yg turut disertai dengan tazkirah ringkas. Selepas itu, Tok Guru terus menuju ke lobi untuk sesi bergambar bersama para peserta program Hari keluarga PMBK 2011. Setelah semuanya selesai, Tok Guru berangkat pulang bagi menunaikan tanggungjawab yang lain pula. Yang pasti, kehadiran beliau memberi seribu makna buat kami semua.

Tepat jam 8.30 malam, para peserta berkumpul di dewan makan bagi menikmati makan malam dan barbeque. Pelbagai hidangan disajikan termasuklah makanan laut yang tampak begitu segar. Acara malam ini tambah lebih ceria apabila majlis penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka dijalankan, dan acara cabutan bertuah lebih menggamatkan suasana apabila masing-masig berharap akan menjadi peserta bertuah pada malan ini. Pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada para peserta yang bertuah. Yang pasti, keceriaan jelas terpancar pada wajah peserta-peserta yang bertuah.

Pada hari keesokannya, tiada aktiviti yang disusun bagi membolehkan para kakitangan untuk meluangkan masa bersama keluarga masing-masing. Sementara para kanak-kanak sedang ‘ralit’ bermandi-manda di kolam renang, golongan bapa mempunyai cara tersendiri untuk berhibur iaitu dengan mengadakan perlawanan polo air sesama mereka. Hilai tawa kanak-kanak disulami dengan deraian ketawa para bapa cukup mengambarkan kemeriahan Hari Keluarga pada kali ini. Kenangan indah telah terakam bersama kami di sepanjang program ini berlangsung untuk dibawa pulang.scroll back to top
 
February 2012
S M T W T F S
29 30 31 1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 1 2 3
Webpmbk.gov
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday269
mod_vvisit_counterYesterday1703
mod_vvisit_counterThis week12878
mod_vvisit_counterLast week19009
mod_vvisit_counterThis month64736
mod_vvisit_counterLast month129968
mod_vvisit_counterAll days1127370


ANAK SYARIKAT



Peta Laman


Hakcipta Terpelihara | Copyright © 2010 - 2011 Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Perbadanan Menteri Besar Kelantan
Tingkat 6, Bangunan PMBK, Jalan Kuala Krai,
15050 Kota Bharu, Kelantan Darul Naim
Tel : 09 - 747 4082 | Faks : 09 - 747 7815

PENAFIAN: Pihak Perbadanan Menteri Besar Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini.
DISCLAIMER: Perbadanan Menteri Besar Kelantan will not be responsible to any damages or loses caused by the use of information in this website.