Bismillahir Rahmanir Rahiim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera

Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana telah memberi hidayah kepada kita semua untuk terus menjalani kehidupan pada hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas sirah yang ditinggalkan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita.
Merujuk kepada laporan muka depan Utusan Malaysia dan laporan akhbar Sinar Harian di muka surat K2 mengenai gesaan supaya saya meletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dengan kadar segera oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK). Dalam kenyataan tersebut, DPPNK akan membuat mesyuarat berkenaan dengan perkara ini iaitu pada Hari Isnin 4 Muharram 1430H bersamaan 21 Disember 2009.
Kenyataan DPPNK yang disampaikan oleh Dr Rosli Allani bin Abdul Kader, Ketua Penerangan DPPNK berkata ianya adalah selaras dengan konsep parti menguasai kerajaan. Sehubungan dengan itu, saya ingin perjelaskan bahawa keputusan yang diambil oleh saya adalah selaras dengan konsep parti menguasai kerajaan berdasarkan:
1) Pada 6 Zulhijjah 1430H bersamaan 23 November 2009, rombongan PAS Pusat yang telah datang ke Kelantan diketuai oleh Presiden PAS, YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah berbincang dengan YAB Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengenai isu perletakan jawatan saya. Mereka telah bersetuju menyerahkan kepada saya bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk saya melepaskan jawatan tersebut.
2) YAB Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah menyatakan persetujuannya melalui perbincangan di antara saya dan beliau (seperti kenyataan media yang telah saya buat pada 15 Zulhijjah 1430H bersamaan 2 Disember 2009). Dalam kenyataan tersebut, saya akan memberikan notis perletakan jawatan pada 7 Muharram 1430H bersamaan 24 Disember 2009 dengan notis 90 hari. Notis ini adalah selaras dengan terma-terma dalam surat perlantikan dan ianya juga akan memberi peluang kepada PMBK untuk mencari pengganti dan memastikan urusan harian pentadbiran PMBK tidak terjejas.
3) YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Pas telah sekali lagi membuat arahan terbaru pada 26 Zulhijjah 1430H bersamaan 13 Disember 2009 supaya perkara ini diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Kelantan.
Sekiranya merujuk kepada konsep parti menguasai kerajaan maka saya telah patuh kepada arahan kedua-dua pucuk pimpinan tertinggi parti yang telah membuat persetujuan bersama di atas pelan perletakan jawatan saya. Saya mengesa pihak DPPNK juga patuh kepada arahan pucuk pimpinan tertinggi parti selaras dengan konsep parti menguasai kerajaan.
Perkara ini tidak perlu dibangkitkan lagi kerana semuanya telah dinyatakan dan hampir selesai. Saya menyifatkan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pimpinan DPPNK ini sebagai satu tindakan yang tidak bijak dengan menggunakan media kerana isu ini telah pun reda dan kenyataan ini pastinya akan memberi ruang kepada pihak musuh untuk mengambil kesempatan.
Saya mengeluarkan kenyataan media ini di atas sifat saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan Exco DPPNK.
Sekian dimaklumkan.
IR ABDUL ARIFFAHMI AB RAHMANKETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN PMBK