VOKALIS MELLISA DAN GITARIS SAMUDERA BERSATU UNTUK ISLAM
Dari HarakahDaily
PERMATANG PAUH, 14 Dis: Keaktifan dua bekas anggota
kumpulan rock tanahair penghujung 90 an Melissa dan Samudera
menyampaikan dakwah menerusi lagu bertemakan Islam wajar dihargai
kerana cara tersebut boleh membantu meningkatkan kefahaman Islam di
kalangan golongan muda.

Bagi
Vokalis Melissa yang terkenal dengan lagu 'Cinta Untuk Nabila', Mohd
Rodzi Abdul Hamid dan bekas gitaris kumpulan Samudera, Syed Anuar Syed
Yusof yang top dengan lagu 'Salam Sejahtera' kini boleh terus berbangga.
(Gambar: Mohd Rodzi kini berubah wajah)
Ini kerana, kalau dulunya mereka menjadi idola remaja yang
tergilakan muzik slow rock, kini bertekad akan membawa lagu-lagu
berunsur nasihat pula semata-mata ingin melihat perubahan pada
masyarakat.
Ini kerana diri mereka pernah disanjung setinggi
langit dan tahu betapa agungnya di saat itu namun kini semuanya telah
berubah kerana ingin mencari kelainan setelah menyedari kekosongan pada
diri sendiri.
Kegelisahan jiwa terutamanya, menjadi kusut
walaupun di saat-saat kegemilangan dan hanya dapat menemui titik
ketenangan bila berhasrat meninggalkan terus lapangan yang diminati
sejak kecil.

Maklumlah
kata mereka, zaman itu pergilah ke mana sahaja samada pesta, karnival,
konsert dan sebagainya pasti mendapat pujian, tambahan lagi di
kelilingi peminat wanita.
"Dulu saya pernah di atas mendapat
sanjungan ramai tapi kini saya terus berbangga walaupun tidak lagi
sehebat dulu. Sekarang ini terdapat ketenangan yang tidak ada pada
zaman muda," ujarnya sebelum mendendangkan lagi top Melissa 'Cinta
Untuk Nabila'.
"Saya pula walaupun tidak menjadi penyanyi utama
Samudera dan hanya pemain gitar utama turut terasa bahang kemasyhuran
apabila gambar sering terpampang di dada akhbar. Namun itu hanya
sementara dan sekarang jiwa saya benar-benar tenang, " jelasnya yang
kini berhasrat mahu muncul dengan Samudera semula tetapi berlainan imej
dan penyampaian jika usahanya perbincangan dengan syarikat rakaman
membuahkan hasil.
(Gambar: Syed Anwar di malam kesenian Islam)
Penonton walaupun tidak seramai malam konsert rock tetapi kehadiran
mereka benar-benar membuktikan kesungguhan untuk memberi semangat baru
kepada dua bekas anggota rock berkenaan setelah kembali dengan imej
baru di mana Radzi nampak macam ala kumpulan Al-Arqam manakala Syed
Anuar macam ala Jemaah Tabligh.
Semalam mereka mengadakan
persembahan sempena Malam Kesenian dan Kebudayaan Islam di Dataran
Pusat Bimbingan Islam Darul Huda, Bandar Perda, Bukit Mertajam.
Selain menjemput artis yang terkenal dengan irama rock, kumpulan
Nasyid sebaris dengan Raihan, Hijjaz dan Rabbani iaitu Kumpulan Rusdan
turut mengadakan persembahan pertama setelah tidak bersama 11 tahun
lalu.
Turut disajikan dalam program tersebut ialah bacaan
sajak, bercerita dalam Bahasa Mandarin dan pantomen bertajuk 'Tidak
hargai jasa bapa'.