HIMPUNAN SOKONG KEPIMPINAN NIK AZIZ ESOK
Dari HarakahDaily
KOTA BHARU, 3 Dis: Penerangan PAS Kelantan menyeru
orang ramai hadir pada program himpunan menyokong kepimpinan Menteri
Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang bakal
diadakan esok, 4 Disember.
Program berkenaan dijangka bermula
pukul 10.20 pagi sejurus selepas kuliah Jumaat, di Medan Ilmu, Jalan
Dato’ Pati, di sini (perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri).
Ketua
Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah, ketika
memberitahu media semalam berkata himpunan berkenaan diadakan bagi
menyokong kepimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar yang tidak
berbelah bagi.
“Memandangkan kini ada pihak yang mendesak Tuan
Guru supaya melepaskan jawatannya, sebaliknya pula kita akan
mempertahankan Tuan Guru agar tidak berbuat demikian.
“Kita akan menganjurkan program ini semata-mata untuk menyatakan sokongan kita terhadap kepimpinan Tuan Guru,”ujarnya.
Sambungnya,
tidak ada sebab Tuan Guru harus melepaskan jawatannya memandangkan
kepimpinan beliau masih diperlukan disamping ketokohannya yang sukar
dicari ganti.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai hadir
untuk menyatakan pendirian berkenaan pada program yang dianjurkan Badan
Perhubungan PAS Negeri itu.
“Pada mereka yang mengikuti kuliah
Jumaat Tuan Guru, kita minta mereka menunggu untuk seketika bagi
menjayakan program tersebut,”ujarnya.
Sebelum ini, kumpulan yang
dikenali sebagai Jemaah Perihatin Rakyat Kelantan yang turut disertai
pemimpin Umno Bahagian Pasir Mas diketuai ketuanya, Che Johan Che Pa,
telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar supaya meletakkan
jawatannya.
Bagaimanapun perhimpunan tersebut dianggap gagal apabila impian Umno
menghimpunkan 2,000 penyokong hanya disertai kira-kira 100 orang sahaja.
Biar
pun media harian kelihatan sepakat melaporkan lebih 1,000 orang hadir
pada perhimpunan di depan Kota Darulnaim, namun ia tidak mampu
memperbodohkan orang ramai yang menyaksikan ‘drama’ tersebut.
Semalam, Dewan Pemuda PAS negeri, telah menyatakan sokongan mereka
terhadap kepimpinan Tuan Guru dalam sidang mereka tersebut yang
diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Baihaqi.
Pada
masa yang sama, Naib Ketuanya, Hisyam Fauzi, mengucapkan terima kasih
kepada kepada pasukan keselamatan terutama Ketua Polis Kelantan, Datuk
Abdul Rahim Hanafi yang turut turun padang meninjau perkembangan di
hari perhimpunan berkenaan diadakan.
Menurut Hisyam, tekanan
yang diberikan begitu kuat terhadap kepimpinan Kelantan, terutama pada
Tuan Guru adalah untuk mengalihkan isu kerisis kepimpinan dalam Barisan
Nasional (BA) terutama Umno dan MCA.
“Kerana integriti Tuan Guru
yang tersenarai diantara 42 dari 500 orang pemimpin Islam di peringkat
dunia juga menyebabkan mereka cemburu, kerana itu menciptakan pelbagai
isu untuk memburukkan imejnya,”ujarnya.