BERITA_TERKINI

PAS bina Stadium Sultan Mohamad IV
Dari HarakahDaily Online
Oleh Aslani M   

KOTA BHARU, 18 Okt: Pihak yang memperkecil cadangan kerajaan negeri membina stadium bola sepak berciri reka bentuk unik seperti lupa Stadium Sultan Mohamad Ke IV yang ada sekarang dibina kerajaan PAS selepas pilihan raya 1964.

Stadium itu dibina di kawasan seluas 13 ekar melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta dibina secara berperingkat-peringkat. Ia dapat menampung seramai 25,000 penonton.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihak yang cuba mempersendakan cadangan kerajaan negeri membina stadium baru di Bukit Merbau, Pasir Puteh seperti lupa kejayaan kerajaan PAS sebelum ini.


“Stadium Sultan Mohammad Ke IV yang ada sekarang dibina kerajaan PAS. Maka tidak pelik stadium baru  juga boleh dibina kerajaan negeri yang ada sekarang.

”Pihak-pihak yang mempertikai cadangan membina stadium baru itu seolah-olah lupa sejarah pembinaan stadium di Kelantan,” katanya menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Pasir Tumbuh) pada persidangan Dun hari ini.

Pada Mei lalu kerajaan negeri mengumumkan akan membina sebuah stadium baru di kawasan seluas 123 ekar dengan kos bernilai RM159 juta di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Kompleks stadium yang unik tersebut dijangka mampu menampung sehingga 40,000 penonton menyediakan tempat solat di setiap aras bagi memudahkan orang ramai mengerjakan sembahyang.

Selepas pengumuman tersebut ada pihak terutamanya pemimpin Umno mempertikaikan cadangan tersebut dan menganggap kerajaan negeri tiada kemampuan.

Husam berkata, sehingga kini empat syarikat sudah mengemukakan kertas cadangan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) bagi membina stadium tersebut.

”Syarikat terbabit akan membentang proposal mereka kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya syarikat yang akan membina stadium tersebut bakal membina projek komersial lain di kawasan berkenaan bagi membolehkan mereka mendapat dana untuk menampung kos.

Kata beliau juga reka bentuk stadium tersebut diilham sendiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan menggabungkan ciri stadium dan masjid.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS sehingga kini sudah mengemukakan dua kali usul persendirian di parlimen mendesak kerajaan menggubal undang-undang murtad.

Katanya, usul tersebut dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, namun tidak ada menteri dan anggota parlimen Umno menyokong usul tersebut.

”Tanpa ada menteri atau anggota parlimen Umno yang menyokong menyebabkan usul persendirian itu tidak diterima Speaker.

”Ini menggambarkan sudah lama PAS mendesak kerajaan pusat menggubal undang-undang mencegah murtad dan ia bukan perkara baru.

”Undang-undang murtad juga sudah terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II). Jadi tidak berbangkit Kelantan tiada undang-undang mencegah murtad,” ujarnya menjawab soalan tambahan Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Kumpulan PMBK

  01b  02b  06b   KGTSBa   04b   14b  08b  09b   10b   12b   BTCSBa